Jumaat, 10 Mei 2013

Tun Seri Lanang



Riwayat hidup Tun Seri Lanang

Tun Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang telah dilahirkan dalam tahun 1565M di Seluyut, Johor Lama. Di Johor Lama beliau telah dilantik sebagai bendahara kepada dua sultan iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II tahun 1570M hingga 1597M dan Sultan Alauddin Shah III tahun 1597M hingga 1612M. Pada Mei 1612M, Tun Seri Lanang telah menerima titah raja Abdullah atau Yang dipertuan di Hilir untuk mengarang Sulalatus Salatin iaitu semasa Raja Abdullah bersemayam di Pasir Raja atau dikenali Pekan Tua. Semenjak tahun 1613M, Sultan Aceh Darusssalam yang terkenal iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636M) telah membuat serangan ke atas banyak negeri-negeri Melayu termasuk Johor Lama, Pahang Lama, Perak dan kerajaan-kerajaan lainnya, dibuat sebagai strategi Sultan Iskandar Muda untuk menghambat pengaruh dan kuasa Portugis dari kepulauan Melayu serta meluaskan kepentingan kerajaannya yang besar.

Antara peristiwa yang telah berlaku ialah  peristiwa Perang Batu Sawar yang melibatkan serangan tentera Aceh ke atas ibukota Kesultanan Johor Lama. Selesai berperang, Sultan Johor iaitu Sultan Alauddin, Raja Abdullah, Bendahara Tun Seri Lanang, panglima serta orang-orang besar Johor telah ditawan dan dibawa balik ke  negeri Aceh. Sultan Johor kemudiannya telah pulang ke Johor sementara Tun Seri Lanang terus tinggal di Aceh sehingga masa kemangkatannya. Pada 1613M sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah melantik Tun Seri Lanang sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga, yang bersifat pemerintah otonomi dalam sebuah jajahan Kesultanan Aceh. Di samping itu, beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada tiga sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M), dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Di Acheh, Tun Seri Lanang turut digelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.

Pada 1659M, Tun Seri Lanang telah meninggal dunia di Samalanga, Aceh dan zuriatnya berterusan menjadi pemeritah otonomi di sana manakala sebahagian zuriatnya kembali ke Johor lalu ditakdirkan menjadi Raja-raja Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor Moden sehingga ke hari ini. Makam Tun Seri Lanang telah dipugar dan dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga dan sentiasa dikunjungi oleh peminat dan pengkaji sejarah, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

Peranan dan Sumbangan Tun Seri Lanang
Peranan Tun Seri Lanang semasa hayatnya ialah beliau telah menjadi bendahara kepada dua Sultan kerajaan Johor Lama. Pada 1570M hingga 1597M, beliau telah menjadi bendahara di bawah pemerintahan Sultan Ali Jalil Shah II manakala pada 1597M hingga 1615M, beliau telah menjadi bendahara di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III.
Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang merupakan tokoh pengarang dan pujangga yang terkenal dalam penghasilan buku sejarah mahupun panduan adat istiadat dalam peradaban, kebudayaan serta sistem pemerintahan Melayu. Dalam kepengarangannya, beliau, masyarakat terdedah dengan ilmu-ilmu yang mampu mendidik masyarakat memiliki jati diri yang tinggi. Beliau telah bertanggungjawab dengan mengembangkan agama islam di Semenanjung Melayu hingga ke tanah seberang ketika diberi kepercayaan memerintah Samalanga, Aceh, Indonesia pada tahun 1645M. Penyebaran agama Islam telah berlaku dengan luas dalam tempoh pemerintahan beliau di Aceh.
Selepas peristiwa Perang Batu Sawar antara tentera Aceh dengan Kesultanan Johor Lama, Sultan Johor iaitu Sultan Alauddin, Raja Abdullah, Bendahara Tun Seri Lanang, panglima serta orang-orang besar telah ditawan dan dibawa ke Aceh. Selepas ditawan, Sultan Johor pulang ke Johor, manakala Tun Seri Lanang menetap di Aceh dan telah dilantik oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sebagai Uleebalang Kenegerian Samalangga. Semasa pemerintahan beliau sebagai seorang Uleebalang yang digelar Paduka Raja Samalangga, beliau bersifat pemerintah autonomi dalam sebuah jajahan Kesultanan Aceh dan disenangi oleh Kesultanan Aceh.
Semasa Tun Seri Lanang menetap di Aceh, beliau telah mendapat tempat di hati Sultan Aceh. Buktinya, beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada tiga orang Sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M), dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Semasa di Acheh, Tun Seri Lanang turut digelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.
Pada Mei 1612M, Tun Seri Lanang telah menerima titah Raja Abdullah supaya mengarang Sulalatus Salatin. Selepas menerima titah daripada Raja Abdullah, Tun Seri Lanang memulakan penulisan kitab Sulalatus Salatin di Batu Sawar, Kesultanan Johor Lama dalam tahun 1612M. Penulisan kitab Sulalatus Salatin dikarang disebabkan beberapa faktor. Antara faktor penghasilan kitab sulalatus Salatin ialah untuk mengangkat kedudukan dan sejarah silam raja-raja Melaka di samping mengagungkan kebesaran dan kecemerlangan raja-raja dan kerajaan Melaka. Selain itu, Sulalatus Salatin turut dihasilkan dengan tujuan menggambarkan kebesaran sebuah dinasti raja-raja Melayu yang bermula dari zaman Raja Iskandar Syah di awal abad ke-15 hinggalah zaman pemerintahan sultan Alau’d-Din Riayat Syah III di awal abad ke-17. Seterusnya, Sulalatus Salatin juga dihasilkan untuk kegunaan istana(istana centri) dan kegunaan orang-orang bangsawan Melayu sebagai rujukan pada masa akan datang serta dijadikan satu wadah bagi merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah negara kota atau kerajaan Melayu seperti kerajaan Pasai dan Singapura selain Melaka. Di samping itu juga, penghasilannya adalah untuk memperlihatkan kepada bangsa lain akan kebesaran bangsa Melayu sendiri.

1 ulasan: