Khamis, 30 Mei 2013

Syamsuddin al-Sumaterani

KETOKOHAN SYEIKH SYAMSUDDIN AL-SUMATERANI

LATAR BELAKANG
Syamsuddin al-Sumaterani ialah seorang ulama, penulis dan ahli tasawuf Indonesia. Nama sebenarnya ialah Syeikh Syamsuddin bin Abdullah as-Sumaterani. Beliau juga dikenali sebagai Syamsuddin Pasai. Menurut para sejarawan, penisbahan namanya dengan sebutan Sumaterani ataupun Pasai menjelaskan adanya dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, orang tuanya adalah orang Pasai (Sumatera). Dengan demikian maka dapat dikatakan bahawa beliau dilahirkan dan dibesarkan di Pasai. Kemungkinan yang kedua pula ialah ulama terkemuka pada zamannya ini telah lama bermukim di Pasai. Beliau ialah pengikut mazhab Shafie dan membawa ajaran tasawuf Hamzah Fansuri. Shamsuddin juga tergolong sebagai ahli sufi yang mengamalkan ajaran Wahdatul Wujud atau Wahdat-al-Wujud. Meskipun Syamsuddin lebih dikenali berbanding daripada gurunya, tetapi tarikh lahir dan pendidikan awalnya masih tidak jelas. Menurut Ahmad Jelani Halimi (2008), dalam sebuah tulisan, Syamsuddin menyebut nama seorang syeikh iaitu Muhammad bin Fadl Allah dari Burhanapur. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa Syamsuddin pernah menuntut ilmu di India.
            Sebagai seorang ulama, Syamsuddin mendapat tempat yang istimewa dalam kerajaan Aceh DarulSallam semenjak pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah al-Mukammil (1588/9-1640 Masihi) sehingga ke zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636 Masihi). Dia bertugas di Istana Aceh selama lebih kurang 35 tahun. Di samping itu, dia dilantik sebagai ketua ulama seluruh Aceh. Menurut catatan Frederick de Hotman dalam bukunya Cort Verhael vant Wederratens is Fredeick de Hontman, tot Atchein (1603), Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani ialah penasihat agung diraja. A. Hasjmy mengatakan bahawa Shamsuddin telah diangkat menjadi Kadhi Malik al-Adil kerajaan Acheh pada masa itu (1983). Walaubagaimanapun, T. Iskandar mengatakan bahawa Shamsuddin tidak pernah dilantik menjadi Kadhi Malik al-Adil sebaliknya kedudukan beliau di istana adalah lebih tinggi daripada pembesar-pembesar negara yang lain. Hal ini dapat dikesan melalui tulisan Nuruddin al- Raniri yang menyentuh mengenai kewafatan Shamsuddin bertepatan dengan kekalahan angkatan perang Acheh di Melaka.
            “Kemudian dari itu maka dititahkan Orang Kaya Maharaja Seri Maharaja dan Orang Kaya Laksamana menyerang Melaka, pada tatkala Hijrah 1038 tahun, tetapi tiada alah kerana berbantah antara dua orang panglima itu. Pada ketika itulah segala orang Islam banyak mati syahid. Syahadan pada masa itulah wafat Syeikh Shamsuddin ibn Abdullah as-Sumaterani, pada malam Isnin, dua belas haribulan Rejab, pada Hijrah 1039. Adalah syeikh itu alim pada segala ilmu, dan ialah yang termasyhur alimnya pada ilmu tasawuf, dan beberapa kitab ditaklifkannya.”
Selain itu, menurut T. Iskandar (1987) dalam Hikayat Acheh juga diberikan sedikit keterangan mengenai pendidikan  Sultan Iskandar Muda pada masa kecil yang disentuh melalui kehadiran Shamsuddin. Pada masa Perkasa Alam (Iskandar Muda) berumur 13 tahun, baginda telah tamat menuntut pelajaran bertangkis. Naskhah ini menyebut;
            “Maka pada ketika itu Syeikh Shamsuddin itulah dan segala pendeta dan segala syarif dan segala hulubalang yang bernama Seri Rama ada hadir menghadap Syah Alam maka membaca fatihah dan segala pendeta dan segala syarif mengatakan: “amin.”
Petikan tersebut jelas menunjukkan bahawa pada masa Iskandar Muda berusia 13 tahun, Syamsuddin sudah mempunyai kedudukan yang penting di istana Acheh. Hal ini berbeza dengan Hamzah Fansuri yang tidak pernah memegang jawatan semasa di Acheh. C.A.O. van Nieuwenhuyze mengatakan bahawa Syamsuddin di Acheh dapat disamakan dengan Faidli dan Abdul Fadl, dua orang penasihat Raja Moghol Akbar di India kerana istana Acheh pada masa itu menjadikan istana Raja-raja Moghol sebagai contoh bagi raja-raja di kepulauan Melayu ini. Oleh itu, ada pihak yang mendakwa Hikayat Acheh yang tidak diketahui pengarangnya sebagai karya tulisan Shamsuddin Pasai.

KARYA-KARYA SYAMSUDDIN AL-SUMATERANI
Seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin banyak menulis untuk menyampaikan ilmunya berkaitan wujudiah. Namun, kebanyakan kitab tulisannya dan Hamzah Fansuri telah dibakar. Kitab-kitab yang diketahui hasil tulisan Shamsuddin ialah seperti berikut:
i.                    Miratul Mukminin (Cermin Perbandingan Bagi Orang-orang Mukmin)
ii.                  Jauhar Haqaaiq (Permata Kebenaran)
iii.                Risalatul Baijin Mulahadhatil Muwahhiddin Alal Mulhidi fi Zikrillah (Tinjauan Ahli-ahli Tauhid Terhadap Orang-orang Yang Sesat Mengingati Allah)
iv.                Kitabul Harakah (Mengenai Ilmu Bahasa)
v.                  Nurul Daqaaiq (Cahaya yang Murni)
vi.                Miratul Iman (Cermin Keimanan)
vii.              Syarah Miratul Qulub (Uraian Tentang Cermin Segala Hati)
viii.            Kitab Tazyim
ix.                Syar’ul Ariffin ( Jalan Orang Arif Budiman)
x.                  Kitabul Ushulut Tahqiq ( Kitab Dasar-dasar Penguat)
xi.                Miratul Haqiqah (Cermin Hakikat)
xii.              Kitabul Martabah (Kitab Tentang Martabat Manusia)
xiii.            Risalatul Wahhab ( Risalah Tentang Maha pemberi)
xiv.            Miratul Muhaqqiqin (Cermin Para Ahli Pembukti)
xv.              Tanbihul’lah (Peringatan Allah)
xvi.            Syarah Ruba’i Hamzah Fansuri (Uraian dan tafsir tentang karya Hamzah Fansuri berjudul Ruba’i Fansuri)

SUMBANGANNYA DALAM AJARAN TASAWUF
Sebagai pendukung tarekat Wujudiyah, ajaran Syamsuddin berkisar kepada keesaan makhluk dengan Tuhan. Hal ini terbukti apabila banyak dalih yang diberinya bergantung kepada Hadith Kudsi yang diinterpretasikan mengikut pandangan mistik. Syamsuddin Sumaterani adalah salah seorang daripada empat ulama yang paling terkemuka di Acheh. 3 orang ulama yang lain ialah Hamzah Fansuri, Nuruddin al- Raniri dan Abdul Rauf Singkel.


            Perihal keintiman hubungannya dengan Nuruddin ar-Raniri, tidak diketahui secara pasti. Yang jelas adalah tujuh tahun setelah Syamsuddin Sumaterani wafat, Raniri memperoleh kedudukan seperti sebelumnya yang diperoleh Syamsuddin Sumaterani. Beliau diangkat menjadi mufti Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1637 oleh Sultan Iskandar Tsani. Disebabkan fatwanya yang mengkafirkan fahaman wahdatul wujud Syamsuddin Sumaterani, maka para pengikut Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumatrani dihukum oleh pihak penguasa dengan hukuman bunuh. Namun demikian, para pengikut fahaman Sumaterani itu ternyata tidak punah semuanya sebaliknya menjadi semakin teguh dan tersebar dalam kalangan rakyat.

            Pada sekitar tahun 1644 Raniri disingkirkan dari kedudukannya selaku mufti kerajaan Aceh Darussalam. Beliau pun terpaksa pulang ke Ranir, Gujarat. Sebagai penggantinya, Sultanah Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) kemudian mengamanahkan jabatan mufti kerajaan kepada Saifur Rijal. Saifur Rijal ialah seorang Minang yang juga penganut fahaman wahdatul wujud telah kembali ke Aceh selepas mendalami bidang agama di India. Dengan demikian, fahaman tasawuf Syamsuddin Sumaterani itu kembali mewarnai corak keislaman di Kerajaan Aceh Darussalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan