Khamis, 30 Mei 2013

Raja Ali Haji

Raja Ali Haji

Latar belakang Raja Ali Haji

Nama penuhnya ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad dan kadangkala dikenali sebagai Engku Haji Tua. Beliau berketurunan Daeng Bugis ataupun raja-raja Bugis dan dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau pada tahun 1809. Beliau dibesarkan dalam kalangan bangsawan. Ketika berusia 11 tahun, Raja Ali Haji menunaikan fardhu haji bersama bapanya, Raja Ahmad dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Setelah pulang ke Riau, beliau menjadi penasihat Yamtuan Muda Riau dalam bidang agama dan undang-undang. Ketika itu, Pulau Penyengat menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat tumpuan ilmu pengetahuan, khususnya Islam. Beliau memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bahasa Melayu dan Arab serta alim dalam hal ehwal agama Islam. Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli tawarikh dan politik semasa hidupnya. Bakat-bakat ilmiah, sastera dan politik yang ada pada dirinya adalah diwarisi daripada ayahnya. Sekiranya mempunyai kelapangan, beliau akan mengarang buku dan antara anak muridnya yang terkenal termasuklah Yang Dipertuan Muda Riau sendiri dan Syed Syeikh al-Hadi dari Melaka (bapa novel Melayu). Beliau meninggal dunia pada tahun 1870.

Peranan dan sumbangan Raja Ali Haji

Raja Ali Haji muncul sebagai tokoh bahasa, kesusasteraan, sejarah, politik dan juga tokoh agama yang ulung pada zamannya (Mohd. Sharifudin Yusop dan Mohd. Lani Sobi, 1999). Sumbangan beliau terhadap persuratan Melayu amat penting. Daya kreativitinya dan kepekaannya terhadap permasalahan yang berlaku di sekelilingnya menjadikan beliau begitu masyhur. Dalam bidang agama, beliau menjadi guru kepada Yamtuan Muda Riau selain mengajarkan agama Islam kepada pembesar dan rakyat jelata. Beliau turut menghasilkan karya-karya berteraskan Islam seperti Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan Syair Sinar Gemala Mustika Alam. Dalam bidang sejarah pula, beliau menghasilkan dua buah kitab sastera sejarah yang penting terutamanya bagi keturunan raja-raja Bugis iaitu Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Sebagai tokoh bahasa, beliau menghasilkan pula Bustanul Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa.
Ternyata Raja Ali Haji seorang tokoh yang tiada tolok banding jika diteliti karya-karyanya yang meliputi pelbagai bidang itu. Dalam bidang bahasa, beliaulah yang diketahui orang pertama yang menulis tentang tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul Katibin dan cuba menyusun sebuah kamus Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa. Menurut Wan Samsuddin Mohd. Yusoff (1976), mengenai bukunya Tuhfatul Nafis, C. Hooykaas dan Winstedt bersependapat menyatakan bahawa sesudah sejarah Melayu, Tuhfatul Nafis dipandang sebagai sumber terpenting dalam pensejarahan Melayu. Dalam bidang sejarah, beliau berusaha membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-raja Melayu dan Bugis dalam bentuk penulisan kreatif yang terakam dalam Tuhfatul Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Untuk pertama kalinya juga beliau menggarap penulisannya secara lebih realistik sekaligus mengurangkan unsur-unsur mitos, dongeng dan khayalan dalam penghasilan karya.

Walaupun terdapat pembaharuan-pembaharuan dalam hasil karangan beliau, Raja Ali Haji tetap dianggap pengarang klasik. Beliau bergaul dengan sarjana-sarjana dan pembesar-pembesar Barat, tetapi pengaruh mereka tidaklah besar. Dalam hal ini, Raja Ali Haji berbeza dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, yang menurut R.Roolvink dalam Mohamad Daud Mohamad (1987) telah berada di perbatasan kebudayaan Timur dan Barat. Abdullah sudah keluar daripada lingkungan masyarakatnya sendiri walaupun tidak secara keseluruhan. Raja Ali Haji dapat menghargai nilai-nilai peradaban Barat, namun demikian beliau menganggap nilai-nilai Barat tidak sesuai dengan masyarakat Melayu. Pujangga ulung ini tetap berdiri teguh dalam lingkungan kebudayaan Melayu dan dengan keras mempertahankan nilai-nilainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan