1. Ciri-ciri Karya Agung dalam Sulalatus Salatin
Untuk melayakkan sesebuah karya diangkat sebagai karya
agung, hasil karangan tersebut perlulah mengambil kira beberapa ciri yang
penting. Ciri-ciri yang dimaksudkan ialah lambang atau pesanan yang disampaikan
oleh karya itu, nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa,
nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa.
i. Isi dan
pesanan
Karya ulung seperti Sejarah Melayu membentangkan alam
yang cukup luas dalam penulisannya. Hasil tulisan pengarang telah berjaya
membawa khalayak pembaca merentas kawasan setempat dan kawasan Nusantara
sehingga mereka mampu menerokai dunia-dunia lain, alam maya dan tidak
ketinggalan juga dunia kayangan. Manusia yang memenuhi ruang hikayat ini tidak
hanya datang dari kawasan Nusantara dan dari dunia manusia biasa lain seperti
Rom, India, China dan Dunia Arab, bahkan juga turut melangkau sempadan para
dewa dan dewi ataupun makhluk super-manusia. Isi yang terkandung dalam karya
ini sarat dengan kepelbagaian episod, peristiwa dan kejadian. Melaluinya, kita
dapat melihat kisah untung nasib dan gelagat para raja, putera-puteri yang elok
rupa parasnya, tiada tolok banding dengan manusia lain, para hulubalang yang
gagah perkasa serta para dewa dan dewi dari kayangan yang membawa tuah dan
kuasa ajaib kepada manusia biasa. Selain itu, kita juga dapat menonton kisah
peperangan, persengketaan istana, kekejaman, peristiwa fitnah, hasad dengki dan
akibatnya, malapetaka. Melalui pengamatan dan pengalaman yang dilalui oleh
pengarang semasa hayatnya, panorama ceritera yang sangat besar dan luas itu
menjadi landasan kepada pengarang untuk diketengahkan ke dalam penulisan. Dalam
erti kata lain, pengarang mengangkat hal-hal yang berlegar di sekitar
kehidupannya untuk dijadikan tema atau fokus utama penulisan.
Pengarang Sejarah Melayu telah
mengangkat kisah kebesaran dan kekuasaan raja atau kerajaan Melayu. Bagi
memastikan pemerintah digeruni oleh raja-raja lain di dunia ini, raja Melayu
itu mesti diberikan kuasa yang luar biasa. Untuk tujuan ini, mitologi digunakan
sebagai sumber kuasa raja. Tidak dapat dinafikan bahawa teks-teks sejarah
Melayu pada kurun ke-14 hingga ke-19 mempunyai unsur-unsur mitologi. Karya
sejarah dalam bentuk babad atau susur galur biasanya ditulis atas titah sultan,
bertujuan untuk memuji pemerintah atau mempromosikan kepentingan dan pandangan
keluarga penaung. Apabila seorang pengarang babad memasukkan suatu cerita ajaib
atau mitos dalam karyanya, sudah tentu ada sesuatu maksud atau mesej yang cuba
disampaikan. Oleh hal yang demikian, kita sebagai pembaca perlu memahami makna
maklumat tersebut dan mesej yang hendak dikemukakan.
Dalam Sejarah Melayu, terdapat
juga beberapa cerita mengenai asal usul raja-raja Melayu. Raja Melayu dikatakan
berasal daripada Iskandar Zulkarnain, raja besar bangsa Yunani, beragama Islam,
iaitu yang beriman dengan agama tauhid Nabi Ibrahim.
“A’lam
ketahui olehmu, kepada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata
yang empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Durab, Rom bangsanya,
Makaduniah nama negerinya, Zul-Karnain gelarannya...”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu,
hal. 4)
Selain asal usulnya yang luar
biasa, tema keagungan kerajaan Melayu-Islam ini dikembangkan lagi dengan
memaparkan kepintaran orang Melayu yang menandingi kepintaran rakyat China
sehingga raja China memilih raja Melaka sebagai menantunya. Selain itu, turut
dimuatkan kisah raja China yang gering dan tidak dapat diubati oleh tabib
China. Hanya setelah meminum air basuhan kaki raja Melaka, iaitu menantu raja
China, penyakit baginda sembuh. Hal ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk
menggambarkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan raja beserta kerajaan yang
dinaunginya.
ii. Nilai budaya /
Pandangan Hidup
Menerusi Sejarah Melayu, kebudayaan masyarakat Melayu
turut diselitkan oleh pengarangnya untuk tatapan khalayak pembaca. Gambaran
tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti
pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan
Ramadhan dan pelbagai lagi.
“Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan
“kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan
sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan
tilam... Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tiada
terletak ke tanah; dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau
perahu, bertingkat berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk dan
teterapan keris, sebesar-besar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas,
dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh.”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 74)
Di samping itu, pengarang Sejarah Melayu juga
turut mempersembahkan kepada pembaca perihal istiadat perkahwinan Diraja
Johor-Pahang.
“Setelah genaplah empat puluh hari empat puluh malam berjaga-jaga itu,
kepada keesokan harinya, maka Raja Omar dan Raja Fatimah pun dihiasi oranglah
dengan pakaian kerajaan yang bertatahkan ratna mutu intan baiduri. Setelah itu
maka Raja Omar pun dinaikkan orang ke atas gajah, Tun Nara Wangsa di kepala,
dan Tun Mat Ali, anak Laksamana Hang Nadim di buntut, maka diaraklah dengan selengkap
alat kerajaan dan dengan segala bunyi-bunyian, gendang, serunai, nafiri...”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 300)
Selain itu,
pengarang turut menggambarkan hubungan individu sesama masyarakat dalam
penulisannya. Sebagai contoh, sikap hormat menghormati. Umpamanya, seorang
rakyat tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar. Contohnya apabila
mengetahui yang Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah,
pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Walau bagaimanapun,
penentangan tersebut dihalang oleh Tun Mutahir kerana tindakan tersebut
dianggap menderhaka. Akhirnya, pengikut-pengikut beliau tidak jadi menentang.
Sultan Melaka pada
waktu itu juga sangat menghormati golongan ulama. Hal ini dapat dilihat semasa
Sultan Mahmud Syah ingin berguru dengan Maulana Yusoff. Ulama tersebut tidak
membenarkan Sultan Mahmud Syah datang menemuinya dengan menunggang gajah. Dengan
perasaan hormat, baginda akur dengan permintaan gurunya.
Pandangan dan
falsafah hidup bangsa Melayu banyak sekali diungkapkan oleh masyarakat ketika
itu. Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu begitu kaya dengan keindahan
bahasa yang diperturunkan dalam bentuk puisi. Bentuk puisi yang dikarang adalah
seperti pantun, syair dan seloka serta nyanyian. Puisi-puisi yang terdapat di
dalam Sejarah Melayu mempunyai unsur-unsur tersirat yang bertujuan memuji atau
sebaliknya menyindir. Misalnya, kota sepenampang di Pahang yang terbakar belum
dibersihkan sisa kebakarannya. Lalu, diciptakan nyanyian oleh penduduk
setempat.
Kota Pahang dimakan api,
Sampai ke tepi hampir titian,
Bukan kularang kamu berlaki,
Bukan begini perjanjian.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 239)
Kebanyakan puisi
yang dihasilkan adalah berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku. Contohnya
seperti pantun di bawah,
Teluk Itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi,
Darahnya titik di Singapura,
Badannya
terhantar di Langkawi.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)
Pantun ini terhasil
ekoran daripada peristiwa hukuman bunuh terhadap Tun Jana Khatib. Hal ini
berpunca daripada perasaan iri hati Paduka Seri Maharaja terhadap beliau yang
dituduh cuba menggoda Raja Perempuan dengan memperlihatkan kemahirannya menilik
pohon pinang sehingga terbelah dua. Semasa beliau dibunuh, satu kejadian aneh
telah berlaku iaitu darahnya menitik setitik manakala badannya ghaib.
Selain itu, turut
terselit puisi berbentuk seloka. Seloka ini dihasilkan ekoran peristiwa
Singapura dilanggar todak.
Carek baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu,
hal. 68)
Terdapat juga puisi
yang dibuat oleh masyarakat ketika itu untuk memuji golongan pembesar dan raja.
Tetapi ianya disampaikan dalam bentuk nyanyian. Contohnya:
Pada suatu hari raja Maluku meminjam kuda pada Maulana
Yusuf, itulah dibuat orang nyanyian:
Raja Maluku meninjam kuda,
Meminjam kuda pada Maulana,
Tuanku nyawa orang muda,
Arif bertambah bijaksana.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 180)
Di sebalik pujian,
terdapat juga sindiran yang ditujukan kepada golongan pemerintah. Contohnya
pantun dan seloka ini:
“Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan ikan;
Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya gilang gemilang.”
Maka di sahut oleh bunga tanjung, katanya:
“Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada,
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.”
Maka dijawab oleh bunga telipuk:
“kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab,
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap.”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 214)
Seloka dan pantun
ini sebenarnya bertujuan untuk menyindir Sultan Mahmud yang ingin berkahwin
dengan Puteri Gunung Ledang. Oleh hal yang demikian, terbuktilah bahawa
puisi-puisi yang dihasilkan ini sebenarnya menggambarkan pujian atau sindiran
kepada golongan pemerintah selain menggambarkan peristiwa yang berlaku.
Masyarakat Melayu
begitu kaya dengan budaya dan budi pekertinya. Hal ini telah berjaya
digambarkan oleh Tun Seri Lanang dalam karyanya, Sejarah Melayu. Adat istiadat
Diraja turut dimuatkan dalam karangan beliau bagi memperlihatkan kedaulatan
Raja-raja Melayu.
iii. Nilai Ilmu
Ilmu merupakan salah satu unsur kehidupan intelektual
terpenting. Kadar perkembangan dan penyebaran ilmu pada pandangan umum
menunjukkan darjah kemajuan kesedaran sosial dan perkembangan masyarakat.
Apabila ilmu kuat dan penting dalam masyarakat Melayu dan mempengaruhi
kehidupan manusia, hal ini pasti tercermin di dalam penulisan pengarang. Kajian
yang dilakukan ke atas sumber sejarah Melayu, khususnya sejarah Melayu Islam
menjelaskan bahawa di dalamnya terdapat banyak maklumat yang berkaitan dengan
ilmu. Semua bahan yang dirakamkan di dalamnya boleh dibahagikan kepada beberapa
kategori:
1.
Istilah umum
2.
Bidang ilmu
3.
Para ilmuwan,
karyawan, pengarang (penyalin), guru dan orang alim yang lain
4.
Karya ilmiah dan
buku, serta sistem pengajaran dan pelajaran
5.
Unsur-unsur ilmiah
/ tekstologi dalam teks-teks sejarah
Dalam kategori “istilah umum”, pelbagai kata dan definisi
berkaitan ilmu, pelajaran, pengajaran, karangan, daya cipta dan lain-lain
dimasukkan ke dalam penulisan karya. Misalnya, ilmu, kitab, karangan, cerita, buku,
membaca, mengajar, guru, mursyid, murid, intiha, konon, kabar (khabar), kaul
dan sebagainya. Istilah-istilah tersebut mempunyai makna yang sangat luas dan
digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan intelektual. Jika diteliti dalam
karya agung Sejarah Melayu, antara kosa kata yang ditemukan ialah ilmu,
alkisah, kitab, cerita (ceritera), kabar (khabar), kaul, membaca, mengajar
(ajar), mengarang (karang, karangan), mengaji, alim, murid dan guru.
Kebanyakan istilah umum yang terdapat dalam teks
kebanyakannya berasal daripada bahasa Arab. Akan tetapi, kata-kata Arab ini
sudah terserap ke dalam bahasa Melayu dan dianggap sebagai kosa kata bahasa
Melayu. Melalui penggunaan kata-kata ilmiah yang pelbagai bentuk dan banyak
bilangannya, hal ini dapat mencerminkan dan membuktikan bahawa pengarang dan
pembaca pada masa itu mahir dalam definisi ilmiah dan juga bahasa Arab.
Bagi kategori bidang ilmu pula, dalam teks-teks karya
agung ada disebutkan beberapa bidang ilmu. Dalam Sejarah Melayu, terkandung
beberapa tulisan tentang ilmu falsafah (didaktik, tasawuf, akhlak), ilmu agama
(fardhu ain, ilmu tafsir, ilmu tilawah, ilmu usuludin), ilmu sejarah, ilmu
fiqah (syariah, ilmu hukum), ilmu bahasa (etimologi, saraf, nahu), ilmu
perubatan tradisional dan pelbagai lagi.
Kategori para ilmuwan juga turut tercatat dalam karangan
Sejarah Melayu. Antara orang atau pelaku yang disebut berkaitan dengan ilmu
ialah khatib, haji, sayyid (syed dari tanah Mekah), syeikh, mursyid, makhdum,
kadi dan maulana.
“Maka makhdum pun dibawa baginda naik gajah, lalu dibawa
ke istana baginda. Maka bendahara dan segala orang besar-besar pun masuk agama
Islamlah. Maka segala orang Melaka kecil besar semuanya disuruh raja masuk
Islam sekalian. Maka raja pun berguru pada makhdum Sidi ‘Abdul Aziz.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 51)
“Sebermula pada masa itu kadi di Melaka Kadi Yusuf
namanya, cicit pada Makhdum Sayid ‘Abdul Aziz yang mengislamkan segala orang
Melaka. Maka Kadi Yusuf tiada berguru pada Maulana Abu Bakar kerana ia terlalu
‘alim. Sekali persetua Kadi Yusuf hendak pergi sembahyang Jumaat maka lalu
betul pintu Maulana Abu Bakar. Tatkala itu Maulana Abu Bakar ada berdiri di
pintunya. Maka dilihat oleh Kadi Yusuf akan Maulana Abu Bakar dikeliling oleh
cahaya seperti sumbu dian yang dikelilingi apinya. Demikian rupanya. Maka Kadi
Yusuf pun segera berlari datang menyembah pada Maulana Abu Bakar. ... Maka Kadi
Yusuf pun berguru pada Maulana Abu Bakar. Maka Kadi Yusuf pun jununlah. Maka ia
lalu memecat dirinya daripada kadi.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 100)
“... Maulana Abu Bakar turun dari atas kapal membawa
kitab Durr Manzum...Maka Sultan Mansur pun berguru pada Maulana Abu
Bakar...banyak ilmu diperolehlah baginda. Maka Sultan Mansur Syah Durr Manzum
itu disuruh baginda ertikan ke Pasai.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 98)
“... bertanyakan suatu masalah Segala isi syurga itu
kekallah ia dalam syurga dan bagi isi neraka itu kekallah ia dalam neraka? ...
Maka kata Tun Makhdum Muda “Isi syurga kekallah ia dalam syurga, isi neraka
kekal dalam neraka”... kerana sabit dengan dalil Qur’an “mereka itu kekal dalam
syurga selama-selamanya.”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 98-99)
Semua nama yang
disebutkan dalam petikan di atas merupakan tokoh Islam. Para ilmuwan tersebut
adalah sangat berwibawa dan pangkatnya tinggi dalam masyarakat Melayu Islam
khususnya. Golongan ini juga turut memberi pelbagai nasihat kepada raja dan
anak-anaknya, mengajar sultan dan orang besar-besar, mengepalai musyawarah,
membantu mencapai muafakat dalam perdebatan dan konflik dan lain-lain lagi.
Dalam teks Sejarah
Melayu, terdapat banyak maklumat tentang karya ilmiah dan agama yang diajarkan
dan dibaca dalam masyarakat Melayu. Buku-buku tersebut berkaitan dengan ilmu
agama, falsafah, fiqah, sejarah, bahasa dan sebagainya. Kitab yang sering
disebutkan ialah al-Quran al-Azim dan pelbagai Surahnya. Contohnya,
... Maka belayar pula nakhoda Ismail. Berapa lamanya maka sampai kepada
sebuah negeri pula Thobri (Lamri) namanya. Maka orang Thobri itu pun masuk
Islam. Maka kafir pun naik ke darat membawa al-Qur’an. Maka disuruhnya baca
pada orang Thobri itu surat itu. Seorang pun tiada dapat membaca dia.
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 56)
Alkisah maka tersebutlah perkataan seorang pendita, Maulana Abu Ishak
namanya, terlalu faham pada ilmu tasauf... Maka dikarangnya sebuah kitab dengan
dua bahasa, suatu bahasa zat, kedua bahasa sifat; dinamainya Duri’l-mazlum.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal.
156-157)
Berdasarkan kepada beberapa
pecahan nilai ilmu yang telah dipaparkan dalam Sejarah Melayu, hal ini dengan
jelas menunjukkan ciri penting keagungan karya agung Melayu terletak pada
ketamadunan ilmu yang dipancarkan oleh karya itu. Melaluinya, pengarang telah
berjaya memperlihatkan keupayaan dan keterbukaan mindanya untuk menyerap ilmu
dan nilai baru, yang dipelajari daripada Islam, untuk menilai dan memperkukuh
tradisi bangsanya. Mantera mula diganti dengan doa, berguru kepada orang
pertapa diganti dengan berguru kepada syeikh atau makhdum, adat dan tradisi
keadilan Melayu digandingkan dengan keadilan menurut hukum Allah dan pelbagai
lagi. Inilah proses perkembangan ilmu yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin
atau Sejarah Melayu.
iv. Teknik Kepengarangan
Jika diteliti isi kandungan Sejarah Melayu, pengarangnya
dilihat sebagai seorang intelek Melayu yang berminat kepada sejarah dan suasana
pergolakan politik di Melaka waktu itu. Selain itu, pengarang amat berminat
membaca berbagai-bagai naskhah hikayat daripada kesusasteraan asing yang
diterap daripada kesusasteraan Hindu. Misalnya, pengarang dapat menggarap
unsur-unsur sastera Hindu sewaktu mengisahkan pengembaraan Raja Suran ke negeri
bawah laut dan kisah di Bukit Si Guntang Mahameru. Pengarang juga turut
mengaitkan binatang suci Hindu iaitu lembu putih.
Pengaruh kesusasteraan Jawa seperti cerita panji dan
Cerita Damar Wulan turut dibawa masuk oleh pengarang. Contoh-contoh dari hasil
sastera Jawa dapat dilihat melalui gambaran peristiwa utusan Melaka pergi ke
Majapahit dan peristiwa peminangan Puteri Galuh Cendera Kirana. Dalam peristiwa
peminangan Puteri Gunung Ledang, dikaitkan pula dengan permintaan mas kahwin
yang luar biasa.
Pengarang juga amat mahir menggarap corak penulisan
kesusasteraan Parsi dan Arab. Hal ini dapat dibuktikan melalui gaya penulisan
pendahuluan teks yang mempunyai gaya masnawi. Selain itu, pengarang turut
memasukkan petikan syair dan bidalan Arab, termasuklah juga ayat-ayat al-Quran.
Penggunaan kalimah-kalimah Arab juga amat ketara dalam Sejarah Melayu.
Pengarang dilihat sangat kreatif dan berseni kerana dapat
menampilkan karya tersebut dalam bentuk yang menarik dan indah dari segi
persembahannya. Tun Seri Lanang berupaya melukis segala kisah atau gambaran
masyarakat Melayu dengan hidup dan indah. Beliau juga berupaya menceritakan
sesuatu episod dengan nyata dan jelas sehingga berjaya mengusik perasaan
pembaca sama ada sedih, menyayat hati, lucu, meriah dan riang gembira.
Misalnya, peristiwa peperangan digambarkan dengan penuh suasana ngeri dan
ganas.
“Maka
dikeluari oleh orang Singapura terlalu sabur berperang; tetak menetak,
parang-memarang, tikam-menikam, serta dengan tempik soraknya, gegak-gempita,
tiada sangka bunyi lagi. Maka darah di tengah peperangan itu seperti air sebak,
merah rupanya pasir itu, datang sekarang ada lagi. Maka patahlah perang orang
Singapura, lalu sekaliannya undur masuk ke dalam kota; pintu kota pun ditutup,
dan dilawan berperang dari dalam kota kira-kira sebulan lamanya.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 70)
Pengarang juga
berupaya melukis watak dengan lebih hidup, istimewa dan bercampur dengan unsur
lucu. Contohnya ketika menggambarkan watak Tun Mai Ulat Bulu, Seri Bija Diraja,
Seri Wak Raja, MiaRuzul dengan kambing randuk dan lain-lain. Selain itu,
pengarang berjaya menerapkan gaya bahasa yang indah, menarik dan bermutu
tinggi. Di samping itu, pengarang juga turut menggunakan pelbagai teknik
penceritaan. Antara teknik tersebut ialah dialog, monolog dalaman, menyelitkan
puisi seperti pantun, syair dan bidalan Arab yang secara tidak langsung
menimbulkan kesan keindahan semasa membaca karya tersebut.
v. Seni Bahasa
Bangsa Melayu meletakkan keutamaan yang tinggi kepada
ketajaman akal, kecerdasan berfikir, kebijaksanaan berbahasa dan mengungkapkan
bahasa. Bentuk-bentuk lisan seperti teka-teki dan pantun ialah manifestasi
kepada keutamaan yang diletakkan kepada kecerdasan berfikir. Menurut Noriah
Taslim (2000), masyarakat silam/lisan wujud dalam satu bentuk budaya yang
disebut budaya “rhetorical”,
manusianya wujud dalam situasi persaingan kata-kata (verbal combat) atau pertikaman lidah: pantun perlu dibalas,
teka-teki perlu dijawab, sindiran dijawab dengan sindiran. Hal ini menuntut
kecerdasan berfikir dan kelancaran mengungkapkan bahasa yang amat tinggi.
Bentuk-bentuk peribahasa menjadi cerminan kepada keintelektualan minda Melayu
yang tiada tandingan. Bermula daripada alam kepada manusia, abstrak kepada
konkrit, peribahasa memanfaatkan keindahan untuk menajamkan keintelektualan.
Jika ditinjau dalam Sejarah Melayu, terdapat beberapa
peristiwa yang menunjukkan seni bahasa pengarang dalam sisi yang berbeza.
Sebagai contoh, dalam peristiwa pemeritahan di Temasik/Singapura. Dalam
peristiwa ini, Temasik digambarkan oleh pengarang sebagai sebuah negeri yang
tidak pernah aman. Kita juga tidak pernah didedahkan dengan usaha
pemerintahnya, Parameswara, untuk memajukan Singapura. Hal ini demikian kerana,
di Temasik/Singapura terdapat nilai yang tidak baik. Istilah “Singapura”
dikatakan berasal daripada binatang yang bernama singa dan sikap singa itu pula
suka berpura-pura. Sikap berpura-pura merupakan nilai yang tidak baik. Singapura
dikatakan tidak aman kerana diperintah oleh raja yang berhati pura-pura. Bukan
tidak ada pembesar yang membantu raja, namun pembesarnya juga berhati
pura-pura. Ketaatan kepada raja bukan kerana mahu mendaulatkan raja, tetapi
kerana mahu merebut nikmat material. Dalam Sejarah Melayu, ada generasi yang
cuba membawa pembaharuan, memajukan Singapura, malangnya mereka pula yang
dilenyapkan.
Terdapat ulama, Tun Jana Khatib, yang boleh membantu,
tetapi disebabkan salah sangka, ulama itu dibunuh. Selain itu, digambarkan juga
bagaimana akal seorang budak yang telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa manusia
dan menjadi aset negara, telah dikhianati oleh pihak pemerintah pada masa itu.
Hal ini dibuktikan dalam petikan di bawah,
Maka sembah orang besar-besar, “Tuanku, budak ini terlalu
besar sekali akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau ia besar berapa
lagi banyak akalnya? Baiklah ia kita bunuh.”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 69)
Membunuh
akal bererti membunuh intelektual. Membunuh budak bererti membunuh generasi
warisan. Lebih-lebih lagi membunuh budak berakal besar, yang bermaksud membunuh
kemajuan yang bakal berlaku. Kezaliman pemerintah yang sedemikian telah
melenyapkan riwayat Singapura dalam Sejarah Melayu. Secara halus, pengarang
menyampaikan mesej bahawa Singapura tidak akan maju kerana gejala negatif
menjadi pegangan pemerintahnya. Mesej tersebut dsampaikan secara amat berseni.
Pengarang tidak menyatakan kekejaman pemerintah, sebaliknya pengarang
menggambarkan perlakuan kejam pemerintah. Perlakuan-perlakuan itu pula
disertakan dengan alasan yang mungkin dapat diterima oleh masyarakat pada zaman
itu. Di sinilah seni kebijaksanaan pengarang mengkritik golongan pemerintah.
Seorang budak yang berakal besar semasa kecilnya tentunya akan lebih besar
apabila ia mnginjak dewasa.
Disebabkan oleh sistem nilai yang dipegang
oleh masyarakat dahulu berpaksikan “siapa kuat dia berkuasa”, maka kebimbangan
raja dan pembesar itu adalah wajar. Pembunuhan terhadap akal dan budak itu
menjadi halal pada mereka. Namun demikian, dalam prinsip “halal” mereka itu,
pengarang sebenarnya ingin menggambarkan kekejaman pemerintah kerana pengarang
turut menggambarkan pembunuhan terhadap ulama dan gundik raja. Penyusunan siri
pembunuhan ini dapat memberi kefahaman kepada kita tentang kebijaksanaan
berbahasa yang terdapat pada pengarang.
Terdapat tiga
pembunuhan yang disebabkan oleh tiga faktor yang masing-masing menggambarkan
keburukan golongan pemerintah. Pertama, pembunuhan terhadap ulama bernama Tun
Jana Khatib yang disebabkan rasa cemburu dan syak wasangka. Ulama merupakan
lambang yang membawa cahaya kebenaran dan keimanan. Apabila ulama sudah tiada,
ini bererti kerajaan itu berada dalam kegelapan. Kedua, pembunuhan terhadap
budak berakal besar disebabkan kebimbangan terhadap akal budak itu yang
dikatakan akan menggugat kuasa pemerintahan. Budak berakal besar melambangkan
keintelektualan, kesarjanaan dan kemajuan. Oleh sebab digambarkan masih budak,
mungkin pengarang bermaksud Singapura akan menerima kemajuan atau kemajuan
masih dalam proses pembinaan, dan mungkin Singapura maju dari segi pentadbiran
keduniaan, bukan kerohanian. Ketiga, pembunuhan terhadap anak perempuan Sang
Rajuna Tapa yang menjadi gundik bongsu raja disebabkan fitnah oleh para gundik.
Gundik bongsu dapat difahami sebagai lambang kelahiran. Yang dimaksudkan di
sini, mungkin anak-anak yang bakal dilahirkan lebih berkualiti berbanding
anak-anak gundik yang lain ataupun permaisuri. Dalam ketiga-tiga peristiwa
pembunuhan itu, terlihat kebijaksanaan pengarang mengolah bahasa untuk
mengkritik raja. Seni bahasanya terletak pada cara pengarang menggambarkan
kekejaman dan kesan baik yang dapat diteladani daripada tindakan raja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan