Khamis, 30 Mei 2013

Karya-karya Agung

Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita. kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.
Pada masa umurnya sepuluh tahun , Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang begitu muda.
Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang pahlawan Jawa yang termahsyur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya memperoleh sebilah keris yang dinamakan “Taming Sari” sempena pemiliknya yang asal. Taming Sari merupakan seorang anak buah Empayar Majapahit yang telah dihadiahi dengan sebilah keris kuno yang dipercayai boleh menyebabkan pemiliknya kebal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris ‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri Betara.
Laksamana Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan Sultan dan hal ini menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan dayang Sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh Sultan yang murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh Bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.
Mempercayai bahawa Hang Tuah telah mati, Hang Jebat, melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur Shah demi membela kematian sahabatnya di samping menyebabkan keadaan huru-hara dalam kalangan rakyat Melaka. Seterusnya, Sultan meninggalkan istana dan mengumumkan Hang Jebat sebagai penderhaka. Semua percubaan untuk membunuh Hang Jebat tidak berhasil. Sultan Mansur Shah berasa sesal akan hukuman mati yang telah dijatuhkan kepada Hang Tuah kerana Hang Tuah merupakan satu-satunya wira yang berupaya untuk membunuh Hang Jebat.
Akhirnya, Bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan. Suatu perjuangan yang amat menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kemudian, orang – orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil kota Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan Melaka pun menemukan kegagalan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama.
Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia.” Hikayat Hang Tuah turut dikemukakan oleh Malaysia sebagai Warisan Dunia untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia - Memory of the World Register pada 2001.

Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain. 
Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan.
Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal daripada pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong Mahapudisat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga, seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa.  

Hikayat Aceh

Di bahagian awal penceritaan hikayat ini adalah mengenai Raja Indera Syah yang diterima oleh Maharaja Cina dengan segala kehormatan. Maharaja telah menyerahkan kepadanya segala peninggalan Raja Iskandar. Istana yang telah dibina untuk dia tinggal bersama-sama pengikutnya. Raja Indera Syah juga mempunyai permaisuri yang bernama Nur Kamarain. Selama tinggal di negeri Cina, Puteri Nur Kamarain hamil dan ketika mencapai sembilan bulan kandungannya, dia memikirkan faedah yang akan diperolehinya jika anaknya yang berketurunan dari raja yang besar dapat dilahirkan disana. Raja Syah Muhammad hairan melihat Puteri Nur Kamarain (bahagian cerita yang hilang). Raja Syah Muhammad menyuruh orang untuk menebang buluh dan di dalam buluh itu telah keluar seorang perempuan yang elok parasnya iaitu anak bidadari. Puteri ini bernama Tuan Puteri Dewi Indera telah dibawa ke istana di atas gajah ringga sambil diiringi oleh dayang-dayang. Sesampai disana dia disambut dengan penuh kehormatan. Raja Syah Muhammad telah berkahwin dengannya dan setelah berapa lamanya mereka mendapat dua orang anak iaitu lelaki dan perempuan. Anal lelakinya bernama Sultan Ibrahim dan anak perempuan bernama Sapiah.
Puteri Dewi Indera mempunyai bulu roma putih pada dagu kanannya, yang tidak disukai oleh Raja Syah Muhamad. Raja Syah Muhamad membantun bulu roma itu ketika puteri sedang tidur, malangnya telah keluar tiga titik darah putih dari liang roma dagu puteri itu. Puteri terperanjat lalu meninggal dunia. Raja Syah Muhamad berasa sangat menyesal diatas perbuatannya itu. Tidak lama kemudian Raja Syah Muhammad dan Raja Syah Mahmud berangkat dengan rakyatnya ke Seracan untuk bermain-main. Raja Syah Muhammad tidak mahu meninggalkan tempat tersebut kerana terdapat sebuah kolam yang luas berair jernih. Di dalam dan sekeliling kolam itu terdapat berbagai- bagai jenis bunga. Raja Syah Mahmud mengarahkan orang untuk membina balai perhentian di tempat tersebut. Ketika berda di kolam itu, Raja Syah Mahmud telah melihat anak bidadari yang mandi di kolam tersebut. Raja Syah Mahmud telah mencari idea untuk mendapatkan seorang bidadari dan dia telah mencuri baju terbang bidadari ketika bidadari sedang mandi. Raja Syah Mahmud memujuk bidadari itu dengan mengatakan bahawa pertemuan mereka itu telah ditentukan oleh kehendak Tuhan. Puteri Bonsu iaitu bidadari tersebut telah dibawa di atas gajah ke istana, dan Raja Syah Mahmud telah berkahwin dengannya. 
Hasil perkahwinan tersebut mereka telah mendapat dua orang anak iaitu lelaki dan perempuan. Anak lelaki bernama Raja Sulaiman Syah manakala anak perempuan ialah Arkiah. Puteri Bongsu telah terbang ke udara kerana kesal dengan sikap Raja Syah Mahmud yang telah memungkiri janji dengan menyumpah anaknya itu adalah anak jin atau anak peri. Raja Munawwar Syah telah mengahwinkan cucu lelakinya Raja Sulaiman Syah dan Raja Ibrahim dengan cucu perempuannya Puteri Arkiah dan Puteri Sapiah. Raja … mendapat dua orang anak iaitu Raja Muzaffar Syah dan Raja Syamsu Syah. Raja Munawwar Syah yang telah memerintah di Lamri dan mendapat isteri bidadari yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain. Oleh Sebab itu, Perkasa ‘Alam( Sultan Iskandar Muda) juga keturunan Raja Iskandar Zulkarnaian dan bidadari berdarah putih, dan keturunan Maha Bisnu. 
Di bahagian seterusnya diceritakan salasilah Perkasa ‘Alam daripada pihak bonda adalah Sultan ‘Inayat Syah, Sultan Firman Syah, Paduka Marhum Sayyid al-Mukammil dan Paduka Syah ‘Alam, bonda Perkasa ‘Alam. Raja Muzaffar Syah yang seibu sebapa dengan Raja Munawwar Syah, mempunyai anak iaitu Raja Syamsu Syah. Salasilah daripada pihak ayah adalah Raja Muzaffar Syah, Raja Syamsu Syah, Sayyid al- Marhum, Paduka Marhum dan Marhum Muda. Raja Muzaffar Syah memerintah di Makota ‘Alam dan Raja Inayat Syah di Dar al-Kamal, dua bahagian di negeri Aceh. Sempadan bagi kedua-dua negeri tersebut adalah sungai. Kedua- dua raja tersebut selalu berperang. Raja Muzaffar Syah mempunyai meriam yang ditawannya daripada Peringgi di Teluk Lmari. Walaupun memiliki meriam itu, dia masih tidak dapat memenangi perang.

Hikayat Inderaputera

Hikayat ini mengisahkan perihal seorang putera yang bernama Inderaputera, putera kepada Maharaja Bikrama Buspa yang memerintah negeri Samantapuri. Kelahirannya yang telah lama ditunggu-tunggu oleh ayahanda dan bondanya disambut dengan bunyi-bunyian dan penuh dengan adat istiadat. Ahli nujum datang untuk menilik nasib putera itu. Ahli nujum itu menyatakan bahawa pada usia Inderaputera tidak patut dibiarkan bermain bersama binatang kerana takut bencana akan menimpanya. Inderaputera juga diramal akan menjadi maharaja yang besar dan disegani oleh kawan mahupun lawan.
Tilikan ahli nujum itu menjadi kenyataan dan Inderaputera telah diterbangkan oleh Merak Emas yang dihasilkan oleh pembawa ufti yang datang ke istana Maharaja Bikrama Buspa. Inderaputera jatuh ke kebun bunga seorang nenek kebayan yang tidak mempunyai saudara-mara. Setelah melihat keelokan rupa Inderaputera, nenek kebayan menjadi sayang kepada Inderaputera lalu menjaga Inderaputera bagaikan menatang minyak yang penuh. Inderaputera juga menjadi rapat dengan nenek kebayan tersebut. Selama Inderaputa tinggal dengan nenek kebayan ini, kebun bunga nenek kebayan subur dan lebat. Nenek kebayan mendapat untung yang banyak daripada hasil jualan bunga .
Suatu hari nenek kebayan pergi menjual bunga kepada Perdana Menteri negeri tersebut. Nenek kebayan membawa bersama Inderaputera. Apabila Perdana Menteri itu melihat keelokan wajah Inderaputera, beliau dapat mengagak bahawa Inderaputera adalah anak keturunan besar-besar kerana tingkah lakunya dan sinar wajahnya yang menggambarkan kebesaran dan kemuliaannya. Oleh kerana Perdana Menteri tidak mempunyai anak, maka Perdana Menteri menganjurkan supaya Inderaputera tinggal bersamanya pada waktu siang dan pada waktu malam pula kembali bersama nenek kebayan. Raja Shahian merupakan raja di negeri tersebut yang sangat inginkan anak. Disuruhnya Perdana Menteri supaya membuat pengumuman untuk bertanya kepada rakyat jika ada di antara mereka yang tahu tentang ubat untuk kehamilan. Ada diceritakan bahawa di Gunung Mali Kisna. Ada seorang mahareshi bertapa pada gunung ini yang bernama Berma Sakti. Namun untuk pergi ke tempat itu, amat sukar dan dipenuhi dengan cabaran yang amat susah untuk dilalui oleh orang biasa.
Apabila Inderaputera melihat bapa angkatnya (Perdana Menteri) sugul memikirkan masalah Raja Shahian, Inderaputera menawarkan diri untuk pergi mencari Berma Sakti ini. Perdana Menteri berat hati untuk melepaskan Inderaputera pergi namun Inderaputera tetap berkeras juga. Akhirnya Perdana Menteri terpaksa mempersembahkan Inderaputera kepada Raja Shahian. Raja Shahian berjanji jika baginda mendapat anak lelaki, akan dijadikan saudara kepada Inderaputera dan jika baginda mendapat anak perempuan, akan dijadikan isteri kepada Inderaputera. Bermula pada hari itu, Inderaputera pun merantau ke merata-rata tempat untuk mencari ubat beranak ini. Dalam pengembaraannya,Inderaputera berpeluang melihat dan mengutip pelbagai pengalaman. Inderaputera berjumpa dengan pelbagai kerajaan dan bersahabat dengan pemerintah-pemerintah di sana. Keseluruhan cerita Hikayat Inderaputera mengisahkan perjalanan hidup Inderaputera sepanjang pencariannya untuk mendapatkan ubat itu.
Setelah bertahun-tahun lamanya bersusah-payah untuk mengotakan janjinya kepada Raja Shahian,akhirnya Inderaputera pulang mempersembahkan ubat itu kepada Raja Shahian. Kedatangan Inderaputera setelah bertahun-tahun lamanya merantau menggembirakan bapa angkatnya dan Raja Shahian (yang terhutang budi kepada Inderaputera kerana mencari ubat tersebut), namun mengundang rasa sakit hati dan cemburu menteri-menteri yang menjadi penasihat Raja Shahian. Mereka telah mencuba untuk menfitnah Inderaputera dan membunuhnya. Pelbagai cubaan dan dugaan terpaksa Inderaputera hadapi sebelum dia dapat dijodohkan dengan Puteri Mengindera Seri Bulan (puteri Raja Shahian hasil daripada ubat yang dicari oleh Inderaputera) Akhirnya, Inderaputera dikahwinkan dengan Puteri Mengindera Seri Bulan yang turut jatuh cinta dengan ketampanan dan kebesaran Inderaputera.
Kisah Hikayat Inderaputera ini diakhiri dengan kepulangan Inderaputera kepada ayahanda dan bondanya yang tidak pernah ditemuinya semenjak dia diterbangkan oleh Merak Emas suatu masa dahulu. Inderaputera pulang sebagai seorang putera yang hebat, mempunyai jajahan sendiri dan mempunyai sahabat-sahabat yang juga terdiri daripada pemilik kerajaan-kerajaan yang besar dari tanah jin, dewa, mambang, indera dan peri. Sesungguhnya, segala kesusahan yang ditempuhi oleh Inderaputera yang terpaksa berpisah dengan ayahanda dan bondanya adalah berbaloi kerana Inderaputera akhirnya berjaya memartabatkan dirinya melalui usaha dan penat lelahnya sendiri.
Hikayat Indera Nata
Raja Rom, Indera Jenaka, dayang-dayang, dan Si Batu Kembar telah terperangkap di dalam api. Si Batu Kembar  lantas menjerit meminta tolong. Dia marah kepada Piatu kerana menipunya dengan mengatakan api itu tidak panas. Lama-kelamaan semuanya terkorban. Indera Nata dan puteri ketujuh amat gembira kerana mereka terbunuh. Ia juga akan memperoleh harta rampasan dan rakyat. Selama ini dia dianiaya oleh mereka. Tuan Puteri Cenderawati tunduk merindukan baginda dan menyatakan bahawa Raja Rom itu ialah ayahanda Indera Nata. Tuan Puteri pun menceritakan  segala-galanya. Bermula daripada dia dan suaminya belayar ke Pulau Pelenggam Cahaya untuk mencari buah-buahan dan bunga-bungaan. Malangnya Si Batu Kembar telah merampasnya dan dibuang ke dalam laut. Dia diselamatkan oleh Betara Gangga lalu diberi batu sakti. Kemudian Tuan Puteri tinggal di negeri Rom.
Indera Nata berasa menyesal setelah mendengar cerita ibunya. Namun begitu, dia tidak berupaya menghidupkan orang yang sudah meninggal dunia. Indera Nata meminta isterinya Tuan Puteri Cendera Kesuma cuba menghidupkan kembali bapanya. Puteri Cendera Kesuma pun bersiap-siap dan memakai perhiasan untuk menggunakan ilmu kesaktian yang diperolehnya daripada Betara Gangga. Dengan takdir tuhan, Raja Rom hidup semula. Baginda amat terkejut melihat seorang perempuan cantik di hadapannya iaitu Puteri Cendera Kesuma. Tuan Puteri Cendera Kesuma pun memperkenalkan dirinya sebagai menantu Raja Rom, isteri Indera Jenaka yang digelar Si Piatu. Segala-gala perbuatan jahat Si Batu Kembar yang mengubahkan isterinya menjadi orang hutan turut diceritakannya.
Puteri Cendera Kesuma juga menceritakan perihal ia menyuruh Indera Nata mencari gajah bergading emas. Dia juga menceritakan perihal tujuh orang puteri termasuk dirinya yang menjadi isteri Indera Nata. Raja Rom pun menyuruh menantunya itu memanggil Indera Nata. Tuan Puteri Cendera Kesuma segera memanggil suaminya. Indera Nata dan semua isterinya berhias cantik sekali. Antara tujug puteri itu  ialah Tuan Puteri Nur Laila, Tuan Puteri Ratna Cahaya, Tuan Puteri Bayang-Bayang, Tuan Puteri Cendera Dewi, Tuan Puteri Indera Dewi. Bonda mereka Tuan Puteri Cenderawati tidak mengikut serta.
Indera Nata menghadap ayahandanya dan memohon ampun sambil menangis. Raja Rom pula menyatakan bahawa Indera Nata tidak bersalah, tetapi baginda yang bersalah kerana menganiayai anaknya sendiri tanpa usul periksa. Raja Rom memeluk anaknya sambil bertanyakan bonda mereka. Menurut Indera Nata, bondanya berada di rumahnya di hujung negeri dan dia boleh mengubah kembali ibunya seperti asal. Indera Nata memujuk ayahanda dengan mengatakan bahawa setiap manusia sering melakukan kesalahan. Seharusnya semua manusia memeriksa terlebih dahulu dengan teliti sebelum melakukan sesuatu untuk mengelakkan penyesalan kemudian hari.
Raja Rom bimbang isterinya yang menjadi orang hutan itu tidak memaafkan dirinya. Baginda meminta Indera Naka membawa isterinya menghadap baginda. Indera Nata menasihati ayahanda dengan penuh hemah agar ia sendiri yang menemui isterinya. Lantas baginda, anak dan tujuh isterinya bersama-sama mendapatkan Tuan Puteri Cenderawati. Apabila baginda tiba, Tuan Puteri Cenderawati memarahi baginda kerana mempercayai Si Batu Kembar. Baginda meminta maaf dan menyesal atas kesilapannya dahulu. Setelah dipujuk, akhirnya Tuan Puteri Cenderawati memaafkan suaminya. Baginda amat gembira kerana isterinya telah memaafkan dirinya.  Indera Nata gembira kerana bonda dan ayahandanya telah kembali bersatu. Dia mengajak ayahanda dan bondanya kembali ke istana.  Indera Nata menaiki gajah bergading emas bersama-sama ketujuh-tujuh orang puteri. Baginda bersemayam di atas singgahsana. Baginda membuka gedung emas dan memberi sedekah kepada fakir miskin sebagai tanda kesyukuran.
Raja Mesir, Raja Iraq, Raja Siam, Raja Keling dan Raja Feringgi sudah mengetahui bahawa Tuan Puteri Cendera Kesuma yang berada di Rom telah diselamatkan oleh Indera Nata daripada tangan Si Kembar Batu. Raja yang ketujuh gembira mendengar berita tersebut dan ingin mendapatkan anakandanya semula. Menteri dan hulubalang berpendapat bahawa baginda perlu meminta semula anakandanya, jika tidak diberi mereka akan menyerang. Laksamana pula berpendapat mereka sama keturunan raja dan akan memalukan. Mangkubumi juga bersetuju dengan pendapat laksamana. Semuanya bersiap sedia menuju ke Rom.
Hikayat Malim Deman
Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri Tuan Puteri Lindungan Bulan memerintah negeri Bandar Muar. Mereka mempunyai seorang putera, Tuanku Malim Deman. Pada suatu malam, Tuanku Malim Deman bermimpi didatangi seorang wali Allah menyuruh baginda pergi ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan untuk beristerikan Puteri Bongsu daripada tujuh beradik dari kayangan yang akan turun ke dalam taman nenek memetik bunga mengarang kuntum pada setiap malam purnama.
Sedar dari beradu, Tuanku Malim Deman berubah menjadi seorang yang gila bayang. Seisi istananya kehairanan terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Baginda memohon pekenan ayah dan bondanya untuk pergi berburu ke hulu negeri. Pada mulanya Tuanku Malim Deman diiringi sekalian ramai hulubalang dan rakyat jelata. Namun mereka tewas; akibat kebuluran, penyakit, sesat dan berpatah balik. Akhirnya tinggallah Tuanku Malim Deman, Awang Selamat dan anjingnya Si Kumbang. Awang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia dalam perjalanan, Si Kumbang pula mati lemas. Tinggallah Tuanku Malim Deman sendirian menempuhi berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas hanyut berisi sebentuk cincin dan sehelai rambut. Semua ini milik Puteri Bongsu dari kayangan yang berkata barang sesiapa yang menemui batil tersebut ialah jodohnya. Sebenarnya puteri ini telah ditunangkan dengan Medan Si Tangkal Ali tetapi tidak disukainya.
Tuanku Malim Deman menemui Nenek Kebayan dan dengan helah mereka baju layang Puteri Bongsu diambil oleh Tuanku Malim Deman. Akhirnya Tuanku Malim Deman membuka rahsia batil emas dan apa tujuan sebenar kedatangannya. Mereka dikahwinkan oleh Betara Guru di rumah Nenek Kebayan. Kepulangan Tuanku Malim Deman membawa isteri disambut penuh meriah dan kebesaran oleh kedua orang tuanya, lalu diadakan kenduri kahwin besar-besaran. Rakyat negeri Bandar Muar mengadakan pesta selama tiga bulan sebagai tanda kesyukuran dan Tuanku Gombang Malim Dewa sendiri berkenduri membayar nazarnya.
Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri mangkat selang seminggu, taktha kerajaan diserahkan kepada Tuanku Malim Deman. Malangnya, Tuanku Malim Deman tidak cekap memerintah negeri. Baginda asyik dengan persabungan dan berfoya-foya dengan wanita sehingga melupakan urusan negeri dan permaisurinya. Sehinggalah Puteri Bongsu berputerakan Tuanku Malim Dewana pun, baginda tidak sudi pulang menjenguk bayinya itu. Setelah Tuanku Malim Dewana boleh berjalan, jatuh bangun, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya dahulu. Lantas diambil, sambil mendukung putera kecilnya, ia terbang melayang pulang ke kayangan. Disambut oleh kedua-dua orang tuanya dengan rasa curiga. Setelah diketahui kedudukan sebenar, Puteri Bongsu ditunangkan dengan Mambang Molek seorang raja kayangan juga.
Setelah kehilangan isteri dan anak barulah Tuanku Malim Deman insaf dan menyesal akan perbuatannya selama ini. Baginda mengembara semula sehingga sampai semula ke rumah Nenek Kebayan. Baginda meminta bantuan nenek itu untuk berjumpa dengan keluarganya kembali. Nenek memberitahu baginda bahawa hanya burung borak sahaja yang mampu membawa baginda ke kayangan. Akan tetapi Nenek Kebayan tidak ketahui di mana burung tersebut berada untuk meminjamkan kepada baginda.
Tuanku Malim Deman meneruskan perjalanan dan pada suatu malam, sewaktu terlena di banir pokok, baginda bermimpikan kemunculan seorang wali Allah menyuruh baginda mengikut hulu sungai sehinggalah bertemu dengan Puteri Terus Mata anak Raja Jin Islam. Baginda sempat bertaubat di hadapan wali tersebut. Terjaga atau beradu, baginda menuruti pesanan wali Allah dalam mimpinya. Tuanku Malim Deman meminjam burung borak milik Puteri Terus Mata, untuk berlepas ke kayangan setelah menerima syarat daripada ayahanda Puteri Terus Mata, iaitu Raja Jin Islam supaya mengahwini puteri apabila pulang ke dunia semula. Baginda juga sempat berguru kepada Raja Jin Islam tentang segala ilmu dan hikmat bekalan cabaran di kayangan kelak. Puteri Terus Mata turut memberi tujuh kapur sirih hikmat kepada baginda untuk disantap juga mengatasi tujuh lautan halangan, lautan gelap, api, sejuk, kuning, hijau, masin dan bisa. Kemenyan mandung jati turut dibekalkan untuk menyeru kehadiran burung borak apabila baginda hendak pulang ke dunia semula.
Baginda tiba di rumah Nenek Kebayan di kayangan dan dilayan dengan penuh mesra. Baginda perkenalkan diri sebagai Malim Permainan kerana berkebolehan luar biasa bermain muzik. Malim Permainan hadir ke balai perkarangan istana lalu bermain muzik untuk menghiburkan puteranya Malim Dewana. Walaupun putera itu tidak mengenalinya, namun naluri hubungan anakbapa menyebabkan putera sering berada di atas ribaan sambil berhibur dengan permainan muzik oleh baginda. Dari bau minyak silompat pagar yang melekat pada tubuh puteranya, tahulah Puteri Bongsu bahawa Malim Permainan itu suaminya kerana minyak itu ditinggalkan sewaktu ke kayangan. Malim Permainan (Tengku Malim Deman) menyuruh Nenek Kebayan jualkan cincinnya kepada Puteri Bongsu kerana kesuntukan belanja. Puteri Bongsu membuka rahsia kepada Nenek Kebayan dan meminta Malim Permainan(Tengku Malim Deman) merebutnya semula daripada tangan Mambang Molek.
Tengku Malim Deman akhirnya dapat membunuh Mambang Molek di gelanggang sabung ayam. Dua orang saudaranya yang cuba menuntut bela juga terbunuh dan negeri menjadi huru-hara kerana rakyat Mambang Molek bertempur sesama sendiri kerana hikmat wali Allah. Tengku Malim Deman dikahwinkan sekali lagi dengan Puteri Bongsu di atas kayangan.
Setahun kemudian Tengku Malim Deman membawa Puteri Bongsu dan puteranya pulang ke Bandar Muar. Berkahwin dengan Puteri Terus Mata, puteri Raja Jin Islam sebagai menunaikan janji dan Tengku Malim Deman menjadi raja yang arif bijaksana serta pula gagah berani yang terlalu saktinya tiadalah berbanding zaman itu.
Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu
Buku ini mempunyai 15 bab.  Dalam bab permulaan iaitu Bab 1 dan 2, ianya mengenai sejarah asal-usul raja-raja Melayu yang dikatakan  berasal daripada Iskandar Zulkarnain.  Bercampur dengan Puteri Syahrul Bariyah dari Benua Hindi dan Puteri Mahtabul Bahri yang berasal dari negeri Dika, sebuah negeri di dalam laut.
Nila Utama atau Seri Teri Buana telah kahwin dengan Raden Ratna Cendera Puri dari keturunan Raja Palembang telah mengasaskan kerajaan Singapura. Sejarah Singapura di zaman Seri Teri Buana,  Paduka Seri Pikrama Wira, Seri Rakna Wikrama, Paduka Seri Maharaja dan berakhir di zaman Raja Iskandar Syah dibincangkan dalam 3 dan 4.,
Sejarah kerajaan Melaka dibincangan secara panjang lebar mulai bab ke 4 hinggalah bab ke 14. Ianya bermula di zaman Raja Iskandar Syah hinggalah ke zaman Sultan Mahmud, raja Melaka yang terakhir.  Raja-raja Melaka termasuklah Raja Tengah dan Raja Kecil Besar yang telah memeluk Islam dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Syah. Sultan yang berikutnya ialah Sultan Abu Syahid, Muzaffar Syah, Mansur Syah, Alauddin Riayat Syah dan yang terakhir Sultan Mahmud Syah.
Sultan Mahmud pernah melantik Sultan Ahmad sebagai penggantinya tetapi ianya disuruh bunuh kerana sikap Sultan Ahmad yang tidak menghormati pembesar-pembesar tua.  Sultan Mahmud bercadang untuk melantik Raja Muzaffar sebagai Sultan tetapi digantikan oleh Raja Ali anak Tun fatimah. Raja Ali bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah. Sultan Mahmud mangkat di Kampar.
Dalam bab 15 , Sejarah Melayu membincangkan tentang kerajaan Melayu di Johor terutama di zaman Sultan Alauddin, Sultan Muzaffar, Sultan Abdul Jalil, Sultan Jalla Abdul Jalil  hinggalah ke zaman Sultan Alauddin Riayat Syah.  Terutamanya tentang usaha mereka menguasai semula Melaka. Pada zaman Sultan Aladdin inilah Tun Seri Lanang dilantik menjadi Bendahara dan dititahkan menyusun buku Sulalatus Salatin ini.


1 ulasan: