Khamis, 30 Mei 2013

Hamzah Fansuri

LATAR BELAKANG
Syeikh Hamzah Fansuri ialah seorang cendekiawan, ulama tasawuf, sasterawan dan budayawan terkemuka yang hidup di antara tahun 1589 hingga 1650. Nama gelaran yang tercantum di belakang namanya menunjukkan tempat asal beliau, iaitu Fansur. Dalam kalangan orang Arab, Fansur merupakan gelaran kepada sebuah tempat yang bernama Barus, iaitu sebuah kota kecil di pantai barat Sumatera yang terletak antara kota Sibolga dan Singkel. Selain berfungsi sebagai pelabuhan, Barus atau Fansur juga menjadi pusat pendidikan Islam yang melahirkan ramai ulama terkenal. Ibu bapa Hamzah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Suasana dan keadaan ini mendorong beliau untuk memencilkan diri dan mengembara dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Pengembaraannya ke serata negeri bukan sekadar mencari ilmu dan pengalaman hidup, malah berusaha untuk mencari bukti kewujudan Tuhan. Beliau mengembara ke seluruh pelosok dunia seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan Tanah-tanah Arab. Sekembalinya ke Barus, beliau menjadi guru agama di Acheh semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah yang terkenal dengan gelaran Shah Alam, iaitu Sultan Acheh. Salah seorang pelajar beliau yang terkenal ialah Syamsuddin Al-Sumatrani. Hamzah pernah menjadi penasihat Sultan Acheh dan banyak membantu Sultan dalam urusan pentadbiran negeri. Kemasyurannya dalam kalangan ulama dan sarjana Islam di Nusantara sudah tidak asing lagi. Beliau diakui seorang pujangga Islam yang sangat terkenal semasa hidupnya dan sehingga kini namanya menghiasi lembaran-lembaran sejarah kesusasteraan Melayu dan Indonesia. Namanya tercatat sebagai tokoh besar dalam perkembangan Islam di Nusantara semasa abadnya sehingga ke hari ini.

KARYA-KARYA SYEIKH HAMZAH FANSURI
Hamzah Fansuri telah menghasilkan karya yang cukup banyak. Karya-karya beliau digubah dalam bentuk puisi dan prosa yang menyorot persoalan keagamaan dan falsafah yang mendalam yang memancarkan kegemilangan bahasa Melayu di tempat yang tinggi dan unggul (Talib Samat, 1993). Namun begitu, karya-karyanya beserta karya anak muridnya, Syamsuddin al-Sumaterani telah dibinasakan, iaitu dibakar berdasarkan perintah Sultan Iskandar Sani. Tindakan membakar karya-karya beliau dipengaruhi oleh mufti dan penasihat agama di istana Sultan pada masa itu, Syeikh Nuruddin al-Raniri. Pada waktu itu, cuma sedikit karyanya yang dapat diselamatkan. Antara syair beliau yang sampai kepada kita pada hari ini ialah:
i.                    Syair Burung Pingai
ii.                  Syair Perahu
iii.                Syair Dagang
iv.                Syair Ikan Tongkol
v.                  Syair Sidang Faqir
vi.                Syair Pungguk
vii.              Ruba’i Hamzah al-Fansuri
            Ketokohan Hamzah Fansuri bukan sahaja terletak kepada keterampilannya mencipta syair yang berunsur mistik, tetapi juga sebagai penulis prosa dan buku agama. Karyanya mengupas persoalan keagamaan khususnya bidang tasawuf, mantik, ilmu fiqah dan sebagainya yang memancarkan fahaman Wahdatul Wujud yang diyakininya. Antara hasil karangannya yang berbentuk kitab ilmiah ialah:
i.                    Syarab Al-‘Asyiqin (Minuman Orang yang Berahi)
ii.                  Asrar Al-‘Arifin Bayan Ibn al-Suluk wa al-Tawhid (Rahsia Orang yang Bijaksana)
iii.                Al-Muntahi
iv.                Zinat al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang Mengesakan)
Hamzah Fansuri seorang yang berpengetahuan tinggi dan menguasai bahasa Arab dan Parsi menulis karyanya dalam bahasa Melayu dengan memasukkan kata-kata Arab untuk memperkayakan perbendaharaan bahasa Melayu. Hal ini memudahkan golongan yang tidak mengetahui bahasa Arab dapat memahami karya-karyanya yang mengajak manusia berfikir secara serius tentang tentang ilmu ketuhanan (tauhid) dan tasawuf yang sukar ditafsir oleh orang-orang biasa.

SUMBANGAN SYEIKH HAMZAH FANSURI
Syeikh Hamzah Fansuri bukan sahaja seorang ahli sufi dan penyair terkemuka, bahkan juga seorang perintis dan pelopor dalam perkembangan kebudayaan Islam. Sumbangannya boleh dilihat dalam bidang kerohanian, keilmuan, falsafah, bahasa dan sastera. Beliau dikatakan seorang intelektual yang berani pada zamannya kerana kritikannya yang tajam. Beliau mengkritik perilaku politik dan moral raja-raja, golongan bangsawan dan orang-orang kaya pada ketika itu.
Dalam bidang keilmuan, beliau mempelopori penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang bersifat ilmiah. Sebelum karya-karyanya muncul, masyarakat Islam ketika itu mempelajari ilmu-ilmu agama, tasawuf dan sastera melalui kitab-kitab yang ditulis dalam bahasa Arab.
Dalam bidang sastera, beliau mempelopori penulisan puisi-puisi falsafah dan mistik bertemakan Islam. Ketinggian falsafah yang terkandung dalam bait-bait puisinya sangat sukar ditandingi oleh penyair lain yang hidup sezaman atau sesudahnya. Beliaulah orang pertama yang memperkenalkan syair Melayu yang bercirikan puisi empat baris dengan pola rima akhir a-a-a-a. Jika diteliti daripada struktur syair yang diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri, syair beliau seolah-olah merupakan kesepaduan antara ruba’i Parsi dan pantun Melayu. Seperti juga pantun dan ruba’i, syair ialah puisi empat baris yang terdiri daripada dua misra’ atau pasangan. Namun, syair berbeza daripada pantun kerana syair tidak mempunyai pembayang dan isi.
Dalam bidang kebahasaan, sumbangannya dapat ditelusuri dalam syair-syair dan risalah-risalah tasawuf yang sangat besar jasanya dalam proses Islamisasi bahasa Melayu. Islamisasi bahasa adalah sama dengan Islamisasi pemikiran dan kebudayaan. Syair-syairnya tidak hanya memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu, tetapi turut menggabungkan konsep-konsep Islam dalam pelbagai bidang kehidupan dalam sistem bahasa. Karya-karya sufisme yang terzahir dalam syair-syairnya telah mengubah perspektif dan fungsi sastera ini. Kesannya, satu dimensi baharu untuk memahami kehidupan dan keindahan diperkenalkan. Melalui hasil tulisannya, beliau memberi penjelasan sebab manusia harus mencari Tuhan dan memberi garis petunjuk untuk mencari Tuhan.      

HAMZAH FANSURI DAN ALIRAN WAHDATUL WUJUD
Hamzah Fansuri dikesan menganut fahaman tasawuf yang terkenal dengan nama Wujudiyah, iaitu satu aliran yang menganggap alam semesta ini adalah sebahagian daripada Tuhan, dan alam ini adalah manifestasi daripada kewujudan Tuhan yang mutlak. Fahaman ini tersebar luas di Timur Tengah terutama di Iraq dan Parsi. Di Nusantara, fahaman ini disebarkan oleh Hamzah Fansuri dan pelajarnya, Syamsuddin al-Sumaterani. Hamzah menemui fahaman ini sewaktu mengembara ke Mekah, Madinah dan Baghdad.

Fahaman Wahdatul Wujud ini ditentang habis-habisan oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri sehingga kerajaan Acheh ketika itu bertindak membakar kitab-kitab beliau. Walaupun kitab-kitabnya banyak yang musnah, namun ajaran Wujudiyah Hamzah tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.

1 ulasan: