Sinopsis
La Galigo
Epik La Galigo dimulakan dengan penciptaan dunia. Ketika
dunia ini kosong (merujuk kepada Sulawesi Selatan), Raja Di Langit, La
Patiganna, mengadakan suatu perbicangan keluarga daripada beberapa kerajaan
termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari alam ghaib. Dalam mesyuarat ini, mereka
sepakat untuk melantik anak lelakinya yang tertua, La Toge’ langi’ menjadi Raja
Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. La Toge’ langi’ kemudiannya berkahwin
dengan sepupunya, We Nyili’timo yang merupakan anak kepada Guru ri Selleng,
Raja alam ghaib. Namun begitu, sebelum Batara Guru diisytiharkan sebagai raja
di bumi, beliau perlu melalui suatu tempoh ujian selama 40 hari 40 malam. Tidak
lama kemudiannya, beliau turun ke bumi, dikatakan turun di Ussu’, sebuah daerah
di Luwu’ dan terletak di Teluk Bone. Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng,
anak kepada Batara Guru kemudiannya menjadi pengganti beliau dengan gelaran
Batara Lattu’. Beliau kemudiannya memperoleh dua orang anak kembar iaitu Lawe
atau La Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera Ware’) dan kembarnya, seorang
anak perempuan bernama We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar itu tidak membesar
bersama. Sawerigading pada mulanya menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai
hubungan darah dengannya, ingin berkahwin dengannya. Tetapi disebabkan ini
adalah suatu larangan, beliau meninggalkan Luwu’ dengan menuju ke Cina dan
bersumpah tidak akan kembali. Dalam perjalanannya ke Cina, beliau diserang dan
telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio
iaitu Setia Bonga. Di Cina, beliau mengahwini Datu Cina iaitu We Cudai.
Sawerigading dalam La Galigo digambarkan sebagai seorang
kapten kapal yang gagah dan beliau pernah melawati beberapa tempat seperto
Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa
Ritengnga (mungkin Jawa Timur dan Tengah), Sunra Rilau’ dan Sunra Riaja
(mungkin Sunda Timur dan Sunda Barat) dan Melaka. Beliau juga dikhabarkan oleh
masyarakat Bugis, melawat syurga dan alam ghaib. Pengikut-pengikutnya terdiri
daripada saudara-mara dari serata rantau dan rombongannya sering didahului oleh
kehadiran tetamu yang luar biasa seperti orang bunian, orang berkulit hitam dan
orang berambut di dada.
Menjadi manusia atau penghuni Dunia Tengah, adalah saat
yang paling menyulitkan dalam riwayat hidup Batara Guru. Hal ini membawa erti
bahawa beliau kehilangan hak-hak istimewanya sebagai seorang dewa, sebagai
putera sulung dan pangeran mahkota dari Sang Penentu Nasib yang menguasai seisi
alam. Namun begitu, ketahanan Batara Guru menjalani nasibnya sebagai manusia
pertama di bumi yang kosong, akhirnya memberi pulangan yang sangat indah
sehingga hasratnya untuk kembali ke langit dilupakan. Hal ini juga bermakna, hasratnya
untuk kembali menjadi dewa dan menikmati keistimewaan yang pernah menjadi
miliknya dilupakan sama sekali. Pada akhir kisah panjang ini, Batara Guru
kembali juga ke langit dan menggantikan kedudukan Patotoqe’ sebagai penguasa
tertinggi. Namun begitu, hal ini terjadi setelah empat generasi keturunan
Batara Guru sudah menjelajah ke seluruh dunia, Bumi dipenuhi dengan manusia dan
keturunan para dewa sudah berpindah naik ke Kayangan dan ada yang kekal di
Bumi. Episod akhir Sureq Galigo memperlihatkan perkahwinan Dunia Atas dan Dunia
Bawah untuk melahirkan penghuni Dunia Tengah, diwarnai dengan penyatuan
keluarga besar anak cucu Batara Guru. Mereka yang tersebar sampai ke Cina, yang
menetap di Langit dan Dunia Bawah Tanah, kesemuanya datang berkumpul. Sawerigading
yang berjaya memenuhi Bumi dengan kelahiran anak cucunya tidak lagi dikutuk
jika kembali ke tanah asalnya. Patotoqe’ kemudiannya menutup pintu langit dan
tidak lagi dibuka untuk manusia. Dengan ini, terputuslah hubungan antara langit
dan dunia. Dengan selesainya misi menyebarkan manusia dan memenuhi dunia dengan
kehidupan, maka dianggap lengkaplah kisah Sureq Galigo.
Nilai
Melayu Dalam La Galigo
Nilai
Budaya
Naskhah La Galigo mengandungi beberapa nilai budaya yang
telah menjadi pegangan zaman-berzaman bagi masyarakat Melayu Bugis. Nilai
budaya ini berkaitan langsung dengan hukum adat yang mesti dipertahankan. Nilai
budaya yang pertama dapat dilihat dalam epos La Galigo melalui perbuatan watak
utama iaitu Sawerigading yang terpaksa berangkat keluar dari negeri
kelahirannya menuju ke Cina. Sawerigading dikatakan telah dibesarkan secara
terpisah dengan saudara kembar perempuannya. Apabila sudah dewasa, dia kembali
bertemu dan akhirnya jatuh cinta kepada saudaranya sendiri. Apabila perasaan
cintanya diketahui oleh orang ramai, beliau telah dinasihatkan oleh para
pembesar supaya keinginannya untuk mengahwini saudara perempuannya, We
Tenriabeng dilupakan. Sebagai seorang yang menghormati adat dalam masyarakat,
dia patuh kepada undang-undang yang tidak membenarkan perkahwinan sesama
adik-beradik. Kepatuhannya terhadap adat didorong oleh tegahan daripada
masyarakat istana dan rakyat jelata untuk mengelakkan incest atau
malapetaka menimpa. Atas saranan We Tenriabeng, Sawerigading telah
memperisterikan We Cudaiq yang kecantikannya setanding dengan keayuan We
Tenriabeng. Sebelum keberangkatan Sawerigading ke Cina, dia telah berjanji akan
mengahwini Sawerigading sekiranya We Cudaiq tidak dapat mencuri hati saudara
lelakinya itu. Dalam hal ini, ternyata We Tenriabeng seorang yang bijak kerana
telah mencari seorang perempuan secantik dirinya untuk dikahwini oleh
Sawerigading.
Selain
itu, nilai budaya yang terakam dalam La Galigo ialah amalan menyabung ayam yang
masih lagi menjadi hiburan utama bagi masyarakat Bugis. Masyarakat yang
digambarkan dalam La Galigo amat memandang tinggi kejaguhan seseorang di
gelanggang sabung ayam. Dalam persabungan ayam di Cina sewaktu perlawanan
sedang berlangsung, We Cudaiq menyaksikan kegagahan dan ketampanan sosok I La Galigo sehingga menimbulkan perasaan
ingin tahu dalam hatinya tentang asal usul I La Galigo. Dengan ditemani ayahnya
Sawerigading yang pernah berkali-kali ditolak pinangannya oleh We Cudaiq, I La
Galigo melangkah masuk ke dalam gelanggang dengan yakin. Pada masa yang sama,
pertemuan antara Sawerigading dan We Cudaiq adalah sesuatu peristiwa yang
mengharukan kerana melibatkan dua orang yang terpisah jauh. Sawerigading adalah
lelaki yang amat dicintai oleh We Cudaiq meskipun pinangannya banyak kali
ditolak. Perasaan We Cudaiq ternyata tidak silap kerana Sawerigading
sememangnya suaminya manakala I La Galigo adalah anak mereka. Malangnya, nasib
yang diterima oleh I La Galigo amat buruk semasa zaman kecilnya kerana setelah
lahir, dia telah dibuang ke dalam laut supaya dimakan ikan.
La
Galigo juga memaparkan nilai budaya menghormati tetamu di dalam naskhahnya.
Nilai ini dapat dilihat melalui sebuah nasihat yang diberikan oleh Sawerigading
kepada anaknya, I La Galigo sebelum perlawanan sabung ayam berlangsung.
Sawerigading telah berpesan kepada anaknya supaya menghormati tetamu seperti
datu dan tidak memandang enteng orang lain. Malangnya nasihat yang diberikan
oleh Sawerigading telah diingkari oleh anaknya. Pada hari pertarungan, semua
penonton memenuhi serambi dan jendela istana untuk menyaksikan pertarungan.
Sejumlah ayam ditampilkan berlaga dalam penyabungan tetapi semua ayam orang
Cina menggelepar mati. Sabungan yang terakhir telah menemukan ayam I La Galigo
dengan ayam Karaeng Tompoq yang digelar Sikuriq Linglung Ceppaga Sinting. Dalam
pertarungan tersebut, ayam I La Galigo putus terlempar dan serta merta I La
Galigo menangkap dan menyembelih kepala ayam Karaeng Tompoq. Peristiwa ini
telah menimbulkan perang antara kedua-dua pihak. Tanpa disedari, Karaeng Tompoq
Daeng Malino merupakan isteri La Galigo sendiri. Setelah perang selesai,
diadakan pesta dengan menjemput semua penduduk di bumi menghadirinya. Peristiwa
tersebut jelas menunjukkan sikap I La Galigo yang tidak boleh menerima
kekalahan dalam perlawanan sabung ayam sehingga sanggup melakukan kekasaran
terhadap lawannya.
Nilai
Agama
Orang Bugis telah menganut agama Islam menjelang abad
ke-16 apabila Islam telah diwartakan
sebagai agama rasmi kerajaan Bugis atau Makassar. Islam tersebar ke Makassar
melalui unsur kebudayaan yang sangat mudah meresap ke dalam kehidupan
masyarakat Bugis. Hal ini adalah disebabkan ajaran Islam yang universal dan
sesuai diamalkan sepanjang zaman. Walaubagaimanapun, terdapat sisa kepercayaan
dan tradisi bersumberkan elemen pra-Islam yang masih diamalkan seperti Bissu
dan kitab La Galigo yang dianggap suci oleh mereka. Dalam hal ini, pelbagai
ajaran Islam dan Bugis yang menyelitkan jiwa dan unsur yang sama telah
diaplikasikan dan didialogkan bagi menyerlahkan sisi kebudayaan Islam dengan wajah
Bugis, atau kebudayaan Bugis dengan wajah Islam.
La
Galigo memberikan pengaruh yang kuat terhadap kepercayaan masyarakat Bugis. Hal
ini dapat dilihat melalui doa yang dibaca oleh Bissu yang menyebut Patotoqe
sebagai Dewata Seuawae (dewata yang tunggal) yang diambil daripada konsep Allah
Yang Maha Esa, meskipun dalam La Galigo, Dewa tidak tunggal sebaliknya
beranak-pinak dan diperanakkan. Konsep siriq juga dapat dilihat dalam naskhah
La Galigo. Konsep ini kemudiannya disesuaikan dengan konsep jihad. Pada
akhirnya, sistem Pangngaderreng yang menjadi falsafah hidup orang Bugis
dikukuhkan melalui Islam.
Menurut
Nurhayati Rahman (2008), terdapat lima unsur yang saling mengukuhkan konsep
Pangngaderreng iaitu:
1. wariq
(sistem protokol kerajaan)
2. adeq
(adat-istiadat)
3.
bicara (sistem hukum)
4.
rapang (pengambilan keputusan berdasarkan perbandingan
5. saraq
(syariat Islam)
Empat unsur yang utama dijalankan oleh Pampawa Adeq
(pelaksana adat), manakala yang terakhir di bawah tanggungjawab Parewa Saraq
(pelaksana syariat).
Dalam struktur kehidupan beragama masyarakat Bugis,
terdapat tiga penggolongan yang boleh dilakukan iaitu:
1. Penganut Islam militan yang mengikuti syariat Islam
secara konsisten dan benar.
2. Penganut Islam yang konsisten melaksanakan syariat
Islam, tetapi pada masa yang sama masih menjalankan amalan yang berkaitan
dengan ajaran lama mereka.
3. Penganut agama To ri olo (To Lotang, To Kajang, Toraja
yang terbahagi kepada dua iaitu penganut Islam yang masih melaksanakan ajaran
nenek moyang mereka dan membataskan pelaksanaan syariat Islam untuk upacara
kematian sahaja. Selain itu, terdapat juga penganut To Ri Olo murni yang
kemudiannya diterima sebagai agama Hindu.
Dalam La Galigo juga terdapat nilai agama yang
ditampilkan melalui watak Sawerigading yang menjadi tumpuan dalam cerita.
Setelah Sawerigading mengahwini So Da 1
di Cina, dia bersama anaknya, La Galigo telah berkunjung ke Mekah untuk mencari
berkat dan menetap di sana. Sekembalinya dari Mekah dan menetap di Tompoq
Tikkaq, Sawerigading juga telah mencadangkan kepada masyarakat supaya membangunkan tempat ibadah
tersebut yang dikenali sebagai Masigi. Hal ini menunjukkan penerapan nilai
agama yang wujud dalam naskhah La Galigo melalui watak dan perwatakan
Sawerigading.
Nilai Tradisi
Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada
adat dan tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat
menjaga tradisi, adat resam yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-menurun. Dalam budaya masyarakat Melayu Bugis, pelbagai upacara
keagamaan dilakukan bagi menggambarkan interaksi manusia dengan alam ghaib. Hal
ini mempunyai kaitan dengan teks La Galigo yang dijunjung oleh mereka. Untuk
itu, kita akan bertemu dengan istilah Bissu. Bissu umumnya adalah wadam (Wanita
Adam) atau wanita daripada kalangan puteri bangsawan. Bissu dikatakan datang
dari Raja Luwuq iaitu Batara Guru anak sulung daripada Raja Agung di Kayangan
yang turun ke bumi. Dia turun dalam sebatang bambu dan terasa asing dari
penduduk. Kekurangan ini ditutupi dengan bersatunya We Nyiliq Timoq, saudara
perempuan dewa mereka yang bangkit dari lautan.
Dalam upacara tradisional Mappalili, para Bissu dikatakan
dapat berhubung dengan Batara Guru, We Nyiliq Timoq termasuk dewa-dewa dan
roh-roh lain. Misalnya, dewata yang memberi dan menghibur serta memberi
kesuburan bumi, masyarakat yang bersungguh-sungguh dapat memperolehnya melalui
perantaraan Bissu. Pada upacara sebegini, para Bissu tergolong melebur ke dalam
upacara tersebut untuk menyampaikan doa-doa mereka. Merekalah yang menjadi
tempat penegak pertama antara roh nenek moyang dengan keturunan mereka.
Sehingga kini, upacara Mappalili masih terus diamalkan oleh masyarakat Bugis
yang mengetahui dan membaca karya agung mereka, La Galigo. Sehingga ke hari
ini, naskhah La Galigo diyakini oleh masyarakat Bugis sebagai kitab sakral yang
tidak boleh dibaca tanpa diawali dengan sebuah ritual tertentu, contohnya
menyembelih lembu. Pada umumnya, naskhah dibaca dengan cara dilagukan ketika
ingin membina rumah, musim bercucuk tanam, pesta perkahwinan atau doa menolak
bencana.
terima kasih atas ilmu yg dikongsi.. sangat menarik
BalasPadam