Rabu, 15 Mei 2013

Nilai Ilmu dan Maklumat



Definisi Undang-undang Adat

Istilah adat sering menimbulkan kekeliruan atau salah faham, malah kerap dianggap sebagai kelaziman, kebiasaan dan tradisi. Perkataan adat merupakan istilah yang diambil daripada bahasa Arab dan sudah diterima oleh masyarakat umum. Menurut Abdullah Siddik (1975), di Indonesia dan Malaysia perkataan adat telah dikenali oleh rakyatnya dan dipakai secara tersendiri mahupun dalam kata majmuk: adat istiadat. Hazairin dalam Abdullah Siddik telah memberikan pengertian adat sebagai renapan kesusilaan dalam masyarakat. Definisi ini bertepatan kerana beliau mendasarkan takrifnya kepada kesusilaan. Haji Mohd. Din Ali dalam Othman Ishak (1997) menerangkan pengertian adat sebagai institusi dalam mana undang-undang dan kebiasaan mengatur sosial, politik dan corak perlembagaan bagi pemerintah hari itu. Undang-undang itu adalah melahirkan pepatah-pepatah yang sangat lama dan bernilai.
            Undang-undang Adat atau dikenali juga sebagai Hukum Adat pula ditakrifkan sebagai hukum yang lazimnya tidak bertulis, sesuai dengan timbulnya Undang-undang Adat itu dari pernyataan secara langsung rasa keadilan dan kepatutan yang hidup di sanubari rakyat dan masyarakat. Falsafah Undang-undang Adat mengkehendaki setiap anggota masyarakat bekerjasama antara mereka untuk menjaga kerukunan dalam masyarakat. Kepentingan bersama lebih dipentingkan berbanding kepentingan individu. Dengan sedemikian, Kepala atau Ketua Masyarakat Hukum Adat bukan menjadi raja dengan sendirinya tetapi sebagai satu kesatuan dengan rakyatnya yang bertanggungjawab memelihara kedamaian dalam masyarakat atas dasar musyawarah:
Buruk dibaiki, kusut diselesaikan
Kusut benang, cari hujung dan pangkal
Kusut rambut, ambil minyak dan sikat


            Selain itu, falsafah yang terkandung dalam Hukum Adat ialah tidak mengenal istilah kalah menang dalam musyawarah. Hal ini disebabkan hukum tersebut menekankan perpaduan dari prinsip kebebasan yang memperhatikan sepenuhnya kaedah-kaedah susila dengan prinsip taat kepada kebulatan kehendak dari masyarakat.       Gabungan kedua-dua prinsip ini menjadi tunjang dalam kehidupan masyarakat Hukum Adat.

Pembahagian Hukum Adat

Semua bangsa membawa bersama-sama undang-undang adat masing-masing dan sehingga kini walaupun telah banyak perubahan, undang-undang adat ini masih hidup dan diikuti. Undang-undang adat yang utama terbahagi kepada dua jenis yang utama iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Perincian terhadap perbezaan kedua-dua adat ini dinyatakan dalam Jadual 1.

Perbezaan Adat Temenggung dan Adat Perpatih
Adat Temenggung
Adat Perpatih
Dikembangkan oleh Datuk Ketemenggungan.
Dikembangkan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang.
Diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan daerah Naning di Melaka.
Diamalkan di Negeri Sembilan dan daerah Naning di Melaka.
Bersifat patrimonial (mementingkan lelaki).
Bersifat matrimonial (mementingkan perempuan).
Perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak melanggar hukum syarak.
Perkahwinan sesama suku tidak dibenarkan kerana dianggap bersaudara.
Adat Temenggung bersifat autokrasi (kuasa mutlak).
Adat Perpatih bersifat demokrasi.
Berunsur pembalasan dan undang-undangnya lebih tegas.
Undang-undang jenayah lebih bersifat pemulihan untuk menyedarkan masyarakat.
Harta milik keluarga.

Harta milik individu.

Jadual 1
Ciri-ciri Adat Temenggung

Berdasarkan Jadual 1, terdapat perbezaan yang ketara antara Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Dalam Sejarah Melayu, adat yang diamalkan ialah Adat Temenggung yang berasal daripada Palembang, Sumatera. Adat ini kemudiannya diresapi dengan pengaruh agama Islam dan hukum syarak bermazhab Shafie. Adat Temenggung digunakan di Melaka semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka sebelum berkembang di negeri-negeri taklukan Melaka. Sebagai contoh Undang-undang Johor yang diamalkan di Johor dan Kedah, Undang-undang Pahang dan Undang-undang 99 Perak di Perak merupakan undang-undang yang diaplikasikan daripada Undang-undang Laut Melaka dan Hukum  Kanun  Melaka yang juga tercatat dalam teks Sejarah Melayu. Undang-undang Laut Melaka berkaitan hukum dan peraturan di laut yang mengandungi tatacara dan undang-undang pelayaran serta penggunaan kapal manakala Hukum Kanun Melaka pula berkaitan hukum dan peraturan hal ehwal di daratan.
Menurut Othman Ishak (1997), Adat Temenggung terutama berhubung dengan adat istiadat dan kekuasaan raja, iaitu sistem pertabalan raja dan memuliakan sultan atau raja, serta kedaulatan raja dan pegawai-pegawainya ke atas rakyat mereka. Adat Temenggung juga berhubung dengan sesetengah perkara sivil dan jenayah. Adat ini tidak banyak membicarakan sistem pusaka, meskipun dalam banyak bahagian ia mengatur sesetengah peraturan tentang milik harta. Adat Temenggung merupakan sistem yang kukuh berterusan dan berkaitan.
Selain itu, Adat Temenggung juga menggariskan bahawa sekiranya orang dagang atau orang luar meninggal dalam sebuah negeri asing, semua hartanya mesti diserahkan kepada penghulu mukim atau kepada pemerintah negara. Menurut adat ini juga, sekiranya ia mati tanpa meninggalkan sebarang harta, menjadi kewajipan kepada penghulu atau pemerintah untuk menguruskan perbelanjaan pengkebumian dan jenazah.
            Berhubung dengan pengambilan anak angkat, adat ini tidak memerlukan sebarang perbuatan istimewa tentang upacara untuk menjaga anak angkat. Masyarakat Temenggung tidak terikat dengan adat dalam perkara ini dan dengan senang dapat memelihara mereka sebagai anak-anak mereka sendiri. Lazimnya, hal ini sering menyebabkan pertelingkahan timbul kerana ibu bapa angkat akan memberikan harta pusaka kepada anak angkat semasa hayat mereka lagi. Dalam aspek wasiat, masyarakat Temenggung tidak mempunyai masalah untuk menurut adat kerana kebanyakan mereka menerima prinsip-prinsip pusaka undang-undang Islam.
Menurut Tome Pires dalam Ahmad Ibrahim (2009), jika dilihat daripada tahap kemodenan, undang-undang jenayah dalam negeri-negeri yang mengutamakan keturunan lelaki, ia dianggap jahil, tidak tersusun dan golongan yang pilih kasih, iaitu tiga daripada kekurangan yang paling dikutuk dalam mentadbirkan keadilan. Hal ini disebabkan Pires melihat undang-undang adat yang diamalkan semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka sangat tegas dan keras, namun ketegasan tersebut akan dikecualikan apabila melibatkan golongan yang mempunyai kedudukan dan autoriti dalam sistem pemerintahan. Karya agung Sejarah Melayu dan ikhtisar undang-undang lain selain Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka jelas menunjukkan kebenaran perkara ini.
Dalam undang-undang Adat Temenggung, keadilan kepada wanita memiliki ciri pemulihan. Perkara ini dapat dibuktikan dari aspek perkahwinan. Sebagai contoh, orang kampung di Sungai  Perak mematuhi peraturan mengenai perceraian. Adat Temenggung telah menetapkan bahawa separuh daripada tanah yang diperoleh semasa perkahwinan akan diserahkan kepada isteri, sekiranya isteri turut mengerjakan sepanjang perkahwinan dan satu pertiga jika dia tidak membantu. Peraturan ini telah diperakui dan diamalkan secara umum  dalam Persekutuan.
Adat Temenggung juga meninggalkan warisan dari aspek amalan jual beli. Sebagai contoh, seorang sipiutang Melayu akan menerima keuntungan atau sebahagian daripada keuntungan tanaman yang digadaikan. Keuntungan tersebut tidak boleh digantikan dengan wang yang dipinjam tetapi hanya dapat dilangsaikan melalui keuntungan gadaian.  Peraturan yang ditetapkan dalam undang-undang adat mengkehendaki tanah itu dipindahmilikkan kepada pemiutang untuk sementara waktu.

Pelaksanaan Adat Temenggung dalam Sejarah Melayu

Sejarah Melayu sebagai naskhah karya agung memaparkan ciri undang-undang yang berlandaskan Adat Temenggung. Pelaksanaan undang-undang adat ini dapat dilihat dalam beberapa aspek.

Aspek Pemerintahan 

Sejak kewujudan sistem kesultanan di Melaka, bilangan pengunjung dan rakyat di Melaka semakin bertambah. Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1989), pada awal pemerintahan Iskandar Syah, masyarakat Melaka yang berjumlah lebih daripada satu ribu orang dengan cepat meningkat menjadi lebih kurang empat ribu orang semasa pemerintahan Sultan Alauddin dan menjadi 190 000 orang sebelum Portugis menyerang Melaka. Sejarah Melayu secara umum mendakwa keadaan ini,
 “...maka negeri Melaka pun makin makmurlah lagi dengan ramainya”.
            Kehadiran berbagai-bagai bangsa dan suku ini telah menyebabkan wujud 84 jenis bahasa yang dipertuturkan oleh anggota masyarakatnya. Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perantaraan yang menjadi bahasa kebudayaan, kesusasteraan dan digunakan di istana dan luar istana dan bahasa rasmi untuk surat-menyurat dalam hubungan diplomatik. Hal ini telah mendorong kewujudan kelas-kelas tertentu yang mempunyai peranan dalam masyarakat.
            Pengelasan dalam sistem masyarakat ini bermula daripada tradisi dan kepercayaan serta persetiaan antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di Palembang yang tercatat dalam Sejarah Melayu. Persetiaan tersebut diwakili oleh Sang Sapurba yang melambangkan golongan pemerintah manakala Demang Lebar Daun pula sebagai rakyat yang diperintah. Kewujudan golongan  yang memerintah dan diperintah tidak dapat dielakkan dalam sistem masyarakat yang kompleks.
            Pihak pemerintah yang tertinggi ialah raja dan dikenali sebagai Sultan atau Yang Dipertuan dengan penggunaan kata ganti nama baginda atau ‘duli tuanku’. Ketaatan kepada sultan amat diutamakan dalam segala urusan sehingga wujudnya ungkapan “pantang anak Melayu derhaka pada sultan”. Selain raja, golongan kerabat raja juga menduduki tempat teratas dalam strata sosial masyarakat di Melaka. Golongan ini lazimnya menjawat jawatan yang penting dalam pentadbiran seperti Bendahara dan sebagainya. Ini diikuti pula oleh kelas pentadbir yang terdiri daripada pembesar-pembesar, disusuli oleh rakyat yang merdeka dan menjadi hamba. Golongan intelek dan alim ulama wujud dalam kalangan pembesar dan rakyat yang merdeka. Bilangan mereka amat sedikit tetapi mempunyai fungsi yang penting dalam masyarakat. Dalam kalangan rakyat yang merdeka juga wujud pedagang dan saudagar yang kaya-raya yang terdiri daripada nakhoda.
 Perbezaan kedudukan dan taraf anggota masyarakat ini juga ditentukan berdasarkan pola demografi. Sejarah Melayu menjelaskan bahawa raja dan kaum kerabatnya tinggal di atas bukit yang amat strategik  dari segi pandangan ke arah laut dan pertahanan. Pembesar-pembesar Melayu bertumpu di sekitar lereng bukit berdekatan dengan istana raja selain mempunyai kampung masing-masing. Terdapat juga rakyat yang tinggal di kaki bukit dan di seberang sungai berhadapan dengan bukit. Orang Laut mendiami kawasan tepi pantai manakala rakyat kebanyakan tinggal di perkampungan yang berselerak di sana sini serta di bahagian utara Melaka. Saudagar yang kaya- raya tinggal di bahagian utara tebing Sungai Melaka yang dikelilingi oleh kebun bunga dan buah-buahan.
Golongan masyarakat peribumi kelihatan mendominasi pemerintahan, hal ehwal pentadbiran dan sosiopolitik Melaka. Golongan ini dianggotai oleh aristokrat Melayu yang terdiri daripada anggota kelas kerabat dan pentadbir yang bukan kerabat. Hal ini diperkukuh lagi dengan konsep ‘daulat’ dan ‘derhaka’ yang melambangkan kekuasaan seorang raja. Daulat dihubungkan dengan konsep spiritual dan kepercayaan tradisi tentang derhaka. Dalam konteks ini, sesiapa yang mengingkari perintah raja telah dianggap menderhaka. Golongan yang melanggar perintah raja akan ditimpa ‘tulah’ yang dikaitkan pula dengan daulat raja. Konsep tulah ini dapat dilihat dalam Sejarah Melayu yang menyatakan bahawa Sang Rajuna Tapa, iaitu Penghulu Bendahari kepada Raja Iskandar di Singapura telah ditimpa tulah dengan menjadi batu, kerana bersubahat dengan orang Majapahit untuk menyerang negeri Singapura. Sejarah Melayu juga memberitahu perkataan ‘derhaka’ sering disebut apabila timbul kecenderungan untuk menentang atau mengingkari titah raja. Dalam konteks ini, pihak yang gigih mempertahankan konsep ini ialah golongan pembesar-pembesar Melaka sendiri, terutama Bendahara. Kepercayaan kepada konsep daulat dan derhaka telah membolehkan raja berkuasa secara mutlak terhadap rakyat yang berada di bawah pemerintahan baginda.

Aspek Pewarisan Takhta

Jawatan Raja Muda tidak jelas kewujudannya dalam sistem Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini disebabkan pengganti raja lazimnya dilantik apabila seorang raja hampir mangkat. Tradisi sejarah Melaka menunjukkan bahawa seorang raja baru yang dilantik ialah putera raja yang mempunyai pertalian darah sama ada secara langsung atau tidak dengan Bendahara. Sebagai contoh, Sultan Mansor beribukan anak Bendahara Seri Amar Diraja. Selain itu, anak gahara juga tidak semestinya dapat mewarisi takhta kerajaan Melaka seperti pengalaman Paduka Mimat, iaitu putera Sultan Mansor dengan isterinya.
            Pergeseran peribadi antara kalangan putera-putera raja Melaka dengan raja-raja takluk yang ada hubungan dengan Melaka sering berlaku disebabkan tidak terdapat sistem penggantian takhta yang tetap. Di Melaka, pernah terjadi perbalahan politik antara Raja Ibrahim yang beribukan kerabat dari Rokan Sumatera dengan Raja Kassim yang beribukan keluarga Melayu-Tamil daripada keturunan Bendahara. Seterusnya didapati bahawa Sultan Ahmad, putera Sultan Mahmud dengan isteri baginda, iaitu puteri Raja Pahang dibunuh setelah Tun Fatimah, anak Bendahara Seri Maharaja yang dikahwini oleh Sultan Mahmud melahirkan Raja Ali dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah II. Raja Ali merupakan raja yang pertama menggunakan gelaran Sultan Muda di Johor. Selain itu, Raja Menawar di Kampar yang merupakan anak gahara sentiasa berkonflik dengan adiknya, iaitu Sultan Mahmud yang beribukan adik Bendahara, walaupun mengikut tradisi, Raja Menawar yang sepatutnya menjadi raja Melaka.
Sistem warisan yang mementingkan jurai keturunan lelaki menentukan anak lelaki yang mempunyai hak dalam semua perkara berkaitan dengan pewarisan. Sistem ini menuntut rakyat supaya mengiktiraf pemerintahan raja Melaka berlandaskan keluhuran yang telah dipusakai oleh raja-raja lelaki Melaka. Oleh itu, dakwaan yang mengatakan bahawa raja-raja Melaka berasal daripada keturunan Iskandar Dzulkarnain dari Macedonia, Nusyruan Adil dari Parsi dan Seri Teri Buana dari Palembang telah mempertahankan sistem kepercayaan dalam tradisi perajaan Melaka.

Aspek Perkahwinan

Kewujudan kelas-kelas yang berbeza dalam sistem pemerintahan kerajaan Melaka tidak bermakna mobiliti sosial tidak berlaku malahan proses tersebut sering terjadi dalam bentuk mendatar atau horizontal. Mobiliti sosial seperti ini biasanya berlaku dalam kelas yang bukan kerabat raja. Selain itu, mobiliti sosial secara menegak juga berlaku dalam sejarah kerajaan Melaka melalui perkahwinan.  Dalam hal ini, Sejarah Melayu mencatatkan bahawa Tun Fatimah, anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutakhir  yang dikahwini oleh Sultan Mahmud Syah yang kemudiannya dilantik menjadi Raja Perempuan Melaka. Proses mobiliti sosial secara menegak ini amat jarang berlaku dalam sejarah negeri Melaka.
            Sultan Melaka memiliki ramai gundik dan mengahwini wanita yang terdiri daripada orang kebanyakan sama ada merdeka atau hamba, anak pembesar-pembesar, anak orang asing daripada kaum China, Keling dan Parsi. Namun demikian, walaupun wanita-wanita tersebut melahirkan anak yang boleh menduduki kelas kerabat dengan memakai gelaran ‘raja’ atau ‘raden’ dan ‘paduka’ seperti Paduka Seri China dan Paduka Mimat, iaitu dua orang putera hasil perkahwinan Sultan Mansor Syah dengan perempuan China dan Raden Kelang yang merupakan putera Sultan Mansor Syah dengan perempuan Jawa, perempuan-perempuan tersebut tidak dapat menduduki kelas kerabat.
            Sultan Mansor Syah juga telah menjadikan gadis-gadis Keling dan Parsi sebagai gundik, dan wanita ini diislamkan setelah dikahwini secara sah oleh anak-anak tuan dengan diberikan perbelanjaan kahwin sebagai anugerah daripada raja. Amalan perkahwinan campur seperti ini biasa berlaku. Melalui perkahwinan campur, perhubungan antara orang yang datang sebagai pedagang dengan orang tempatan, terutama melibatkan kalangan kerabat atau bangsawan pasti akan terjalin. Kesan dari keadaan ini, kegiatan serta keuntungan ekonomi negeri dapat dipertingkatkan. Perkahwinan dengan wanita asing yang bukan berasal daripada keturunan kerabat raja tidak menjadi masalah sosial bagi kalangan kerabat lelaki. Hal ini disebabkan Adat Temenggung yang diamalkan di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka memberikan hak pewarisan sebelah bapa.

Aspek Perundangan

Dalam aspek perundangan, kerajaan Melaka mengamalkan undang-undang berteraskan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Unsur undang-undang dan syariat Islam jelas telah diserapkan dengan berkesan dalam kedua-dua teks kanun tersebut. Sebagai contoh, dalam Hukum Kanun Melaka, hukum-hukum Islam jelas mempengaruhi pelbagai hukuman terhadap kesalahan jenayah, hal-hal yang berkaitan dengan hukuman jenis hadd dalam Islam, undang-undang keluarga, hukuman berhubung dengan bunuh yang termasuk dalam bentuk qisas, hukuman terhadap kesalahan mencuri, menyamun, kesalahan-kesalahan seks bersabit dengan perbuatan zina dan liwat dan hubungan seks yang haram antara jantina yang berlainan.
            Sebelum pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, hukuman ke atas penjenayah seperti mencuri, merompak dan menyamun ditentukan berdasarkan hukum adat setempat, tetapi sewaktu pemerintahan baginda, penjenayah yang disabit kesalahannya akan dipotong tangan. Sejarah Melayu menjelaskan bahawa masyarakat Melaka telah menjadi kucar-kacir  akibat kejadian rompakan yang berleluasa. Penggunaan hukum adat tidak memberikan kesan dalam membendung jenayah merompak sebelum hukuman digantikan dengan hukum Islam. Hal ini terbukti berkesan apabila selepas penguatkuasaan undang-undang tersebut, kejadian kecurian tidak berlaku lagi.
            Seterusnya apabila undang-undang dan hukum Islam memberikan kesan dalam perjalanan undang-undang negeri, semakin banyak perkara lain yang berkaitan dengan hal ehwal Islam tetapi bukan bercorak jenayah telah diterapkan menjadi sebahagian daripada undang-undang negeri seperti hukum-hukum syarak, muamalat, munakahat, ibadat, berjual beli, hukum faraid, hukum khiyyar, hukum fuduli dan hak berkeluarga sehingga menyentuh hak fardu ain bagi individu yang beragama Islam.
            Penyingkiran secara total unsur-unsur dan nilai peribumi tidak berlaku walaupun setelah kedatangan Islam. Adat resam dan hukum setempat yang meliputi resam, norma dan etika menjadi part and parcel seluruh undang-undang. Hukuman boleh dijatuhkan dalam dua jenis iaitu:
i.  Secara fizikal
ii. Secara moral.
Bentuk yang pertama lebih menyakitkan kerana mendekati kesan fizikal yang ditanggung oleh seseorang yang melanggar hak-hak yang termaktub dalam undang-undang. Tujuan hukuman yang keras ini dilaksanakan adalah supaya perbuatan jenayah tersebut tidak diulangi oleh pesalah atau orang lain. Menurut Fasal 8:3 Hukum Kanun Melaka yang lazimnya terdapat dalam Sejarah Melayu, hukuman bagi orang yang memaki orang lain ialah;
            “Adapun hukum orang memaki orang: Jikalau abdi memaki merdeka, digocoh hukumnya atau ditanggalkan giginya, itulah hukumnya....kerana hukum anak isteri itu tiada dapat dipermudah-mudah pada hukum kanun; tetapi pada hukum Allah bersalahan: yang membunuh itu fardu dibunuh pula, supaya jangan tertanggung haknya itu kepada kita.”
            Apabila hukuman yang dijatuhkan mengandungi unsur penafian hak dan maruah individu  yang melakukan kesalahan, alternatif lain difikirkan oleh golongan pemerintah untuk memulihkan keadaan. Hukuman tersebut mengambil bentuk nilai dari segi kebendaan iaitu berat emas. Sebagai contoh, hukuman yang dikenakan terhadap orang yang tampar-menampar yang terdapat dalam Fasal 8:4 Hukum Kanun Melaka ialah;
“jikalau ditikam oleh yang kena tampar itu, mati yang menampar itu, tiadalah salahnya lagi kepada adatnya. Adapun dapat dibunuh yang menampar itu hingga tiga hari lamanya, jikalau lepas daripada tiga hari, tiadalah dapat lagi dibunuh juga maka didenda akan dia sekati lima....Adapun pada hukum Allah dibunuh  juga hukumnya, kerana pada Allah Taala hak segala manusia itu amat besar atas negeri, itulah hukum kanun namanya.”
Hak individu juga melibatkan kesalahan yang bersabit dengan seks. Hukuman yang paling praktis digunakan bagi kesalahan ini ialah menyuruh kedua-dua pihak berkahwin. Hal ini disebabkan kesalahan yang dilakukan adalah berpunca daripada tekanan dan kehendak naluri semulajadi manusia berhubung dengan seks. Cara pelaksanaan seks yang bertentangan dengan hukum alam dan tabii manusia amat bersalahan di sisi agama Islam dan boleh menggugat ketenteraman sosial dalam masyarakat. Melalui perkahwinan, naluri dan keinginan semulajadi itu dapat disalurkan berlandaskan hubungan yang halal dan wajar. Menurut hukum Islam, si pesalah akan direjam dengan batu atau didera dengan bilangan yang tertentu atas kesalahannya berzina. Walaubagaimanapun, lelaki tersebut tidak akan dipaksa untuk berkahwin dengan wanita yang menjadi mangsa nafsunya sekiranya wanita itu dirogol. Si pesalah akan diberikan pilihan sama ada didenda sebanyak tiga paha emas atau jika diadili mengikut undang-undang Islam, si perogol akan didera sebanyak 80 kali. Kewujudan tentang hal ini terdapat dalam fasal 12:2 seperti berikut;

“Adapun tiada dapat ia menangkap dan menggagahi orang. Jikalau ada orang merdeka yang ditangkapnya itu, maka lalu diwatinya perempuan itu, maka diberinya tahu kepada hakim maka dipanggil oleh hakim, disuruh kahwinkan. Jikalau tiada ia mahu kahwin, didenda tiga tahil sepaha dengan isi kahwinnya adat hamba raja. Adapun pada hukum Allah, jikalau ia muhsan direjam....Jikalau ghair muhsan, dipalu delapan puluh palu dengan hukum dera. Itulah hukumnya dengan tiada bersalah lagi.”

Bentuk hukuman yang kedua ialah hukum moral yang lebih relatif dengan unsur psikologi dan unsur mental. Ia dirujukkan juga pada asas etos dan nilai anggota masyarakat peribumi Melaka.  Nilai moral diterapkan secara implisit tetapi ditentukan pada corak hukuman yang disusun ke dalam fasal-fasal dalam Hukum Kanun Melaka yang eksplisit. Perincian tentang nilai moral ini dapat dilihat dalam Fasal 11.1 mengenai hukuman orang yang mencuri, dalam Fasal 12.1 mengenai orang yang memperkosa anak isteri orang lain, dan dalam Fasal 13 berkenaan orang yang berbuat bohong dengan Bendahara dan yang memalsukan alat-alat kebesaran pembesar dan Syahbandar Melaka. Hukuman kepada pesalah yang mencuri secara beramai-ramai ialah;
“...kena takzir, ertinya, dinaikkan di atas kerbau balau, dibubuh bunga raya dan berpayung tudung saji, dicoreng mukanya dengan kapur dan arang dan kunyit, maka dicanangkan berkeliling negeri. Jikalau dapat (semula) hak orang itu maka digantungkan di lehernya.”
Hukuman bagi pesalah yang memperkosa anak isteri orang pula ialah;
         “...maka disuruh oleh hakim menyembah lakinya itu di hadapan majlis orang banyak. Jikalau tiada ia mahu menyembah didenda ia sepuluh tahil sepaha, hukumnya.”
Bagi kesalahan berbuat bohong dengan Bendahara dan memalsukan alat-alat kebesaran pembesar dan Syahbandar Melaka jika didapati bersalah ialah seperti;
         “...hukum orang berdusta...dicoreng mukanya atau didenda dua tahil. Adapun jikalau orang berjual kata orang besar-besar atau Syahbandar didenda setahil sepaha atau disuruh maki di hadapan orang banyak. Jikalau ia melawan, dibunuh.”
            Selain itu, Hukum Kanun Melaka tidak mendokumentasi dan menetapkan bahawa perbuatan memfitnah juga harus dibunuh. Sejarah Melayu bagaimanapun menunjukkan bahawa orang yang memfitnah seperti Kitul dan Raja Mendeliar dalam skandal pembunuhan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutakhir, juga dihukum bunuh kerana perintah tersebut datangnya daripara raja, “..maka Raja Mendeliar pun disuruh baginda bunuh...” Malahan cara pembunuhannya adalah mengikut tradisi dan hukum adat setempat apabila Kitul, “...disuruh sulakan melintang dengan segala anak bininya”.  Rumah dan tanah tapak rumah kedua-dua pesalah ini juga dititah supaya digali dan dibuangkan ke laut semuanya.

Aspek Adat Istiadat

Warisan yang terpamer dalam Sejarah Melayu juga berhubung dengan protokol istana dan adat istiadat raja-raja Melayu. Pengaruh Melaka dalam pengistiadatan raja-raja begitu besar termasuklah tertib dan tataadat dalam amalan dan pelaksanaannya iaitu prinsip, kaedah dan tradisi penobatan raja-raja Melayu, peralatan adat dalam kaedah berperajaan dan kebesaran raja-raja seperti berbagai-bagai jenis senjata, payung obor-obor, tepak atau pun sirih dan ketur, dian dan panji-panji, warna dan perbahasaan dalam.
            Teks Sejarah Melayu menyatakan Raja Melaka yang ketiga, Raja Kecil Besar telah mengatur takhta kerajaan baginda dalam aspek pengistiadatan. Pengaturan ini diterangkan secara terperinci tentang larangan memakai kain berwarna kuning, rumah yang berperanjung, bergelang kaki emas, memakai penduk, memakai kain khasa dan bentuk hulu keris dan lain-lain. Sekiranya terdapat golongan rakyat yang mengingkari peraturan tersebut, hukuman yang tertentu akan dikenakan. Sebagai contoh, orang yang memakai kain khasa di balairung akan dirobekkan pakaiannya di khalayak ramai, orang yang bergelang kaki emas walau sekaya mana pun akan dirampas gelangnya. Selain itu, bagi orang yang ingin memasuki istana, hanya dibolehkan apabila orang berkenaan berkain pancung, berkeris di hadapan dan bersebai. Hal ini telah membuktikan bahawa wujudnya pembuat undang-undang dan hukuman kepada pesalah yang melanggarnya.
            Adat yang diistiadatkan seperti adat raja bergajah turut ditekankan semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Telah diistiadatkan bahawa apabila raja bergajah,...Temenggung di kepala gajah, Laksamana atau Seri Bija Diraja di buntut, memikul pedang kerajaan. Hal ini juga termasuk adat memberi gelaran kepada Bendahara, anak raja-raja, para menteri, para ceteria, para bentara, telah diistiadatkan bahawa bilangan persalinan adalah, “...jika Bendahara, lima ceper persalinan-baju seceper, kain seceper, destar seceper, sebai seceper, ikat pinggang seceper; jikalau anak raja-raja dan para menteri ceteria, empat ceper juga...jikalau bentara, sida-sida, hulubalang tiga ceper-kain seceper, baju seceper, destar seceper.”
            Perincian pengistiadatan ini juga dilengkapkan dengan kenyataan dalam Hukum Kanun Melaka sendiri yang menyebut bahawa semua peraturan, larangan dan adat yang diistiadatkan yang membentuk unsur undang-undang tadi dikumpulkan melalui tradisi lisan, diingati atau dimiliki oleh para menteri Melaka yang kanan.

Hidup bermasyarakat

Sejarah Melayu menggambarkan rakyat Melaka yang terdiri daripada orang awam kebanyakan. Antaranya ialah peniaga dan saudagar yang mempunyai kedudukan yang baik dalam sistem sosial masyarakat. Mereka yang mempunyai taraf ekonomi yang lebih rendah terdiri daripada buruh kasar dan tukang mahir mengukir dan membuat pelbagai jenis alat perhiasan dan senjata. Dalam konteks ini, rakyat Melaka yang teramai adalah terdiri daripada orang Melayu daripada pelbagai daerah Nusantara. Sebagai contoh, bilangan rakyat Melaka yang ramai dapat dilihat semasa pembinaan istana Sultan Mansor Syah bagi menggantikan istana yang terbakar.
         Maka Sultan Mansor Syah memberi titah pada Bendahara menyuruh berbuat istana dan balairung, “ Di dalam sebulan juga kita kehendaki sudah”. Maka Bendahara pun mengerahkan orang berbuat istana dan balairung. Maka orang Ungaran berbuat istana besar, dan orang Tungkal berbuat istana kecil, dan orang Buru berbuat sebuah istana, orang Suir berbuat sebuah istana, orang Pancor Serapong membuat sebuah balairung, orang Buru membuat balai pendapa, orang Merba membuat penanggahan, orang Sawang membuat balai Jawa di sisi balairung itu, orang Kundur membuat balai apit pintu keduanya, orang Suntai membuat balai kendi, orang Malai membuat permandian, orang Upang membuat bangsal, orang Tungkal membuat masjid, orang Bentan berbuat pagar istana, orang Muar membuat Kota awang. Adapun istana itu baik pula daripada istana dahulu.

Petikan tersebut melambangkan kehidupan bermasyarakat rakyat Melaka semasa melaksanakan titah raja. Amalan bergotong-royong diterapkan semasa mendirikan istana yang baru dan menjadi salah satu unsur asas persefahaman di kalangan anggota masyarakat Melaka selain unsur bermusyawarah, berjemaah dan berbicara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan