Khamis, 30 Mei 2013

Syeikh Abdul Samad al-Falambani

Ketokohan Syeikh Abdul Samad al-Falambani

Latar belakang Syeikh Abdul Samad al-Falambani

Syeikh Abdul Samad al-Falambani dilahirkan pada tahun 1704 Masihi bersamaan tahun 1116 Hijrah, di Palembang. Terdapat tiga versi tentang nama lengkap beliau iaitu Abdul Samad al-Jawi al-Falimbani (Ensiklopedia Islam), Abdul Samad bin Abdullah al-Jawi al-Falimbani (sumber-sumber Melayu) dan versi terakhir mengatakan nama lengkap beliau ialah Sayyid Abdul al-Samad bin Abdul Rahman al-Jawi (sumber-sumber Arab). Melihat kepada susur galur keturunan beliau, Syeikh Abdul Samad berasal daripada keturunan Arab sebelah bapa, iaitu Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad Al-Mahdani. Ayah beliau merupakan ulama yang berasal dari Yaman yang dilantik menjadi Mufti negeri Kedah pada awal abad ke-18. Ibunya pula, Radin Rianti, ialah wanita Palembang yang diperisterikan oleh Syeikh Abdul Jalil selepas menikahi Wan Zainab, puteri Dato’ Sri Maharaja Dewa di Kedah.
Syeikh Abdul Samad menerima pendidikan asas daripada ayahnya sendiri di Kedah. Setelah itu, Syeikh Abdul Jalil menghantar kesemua anaknya untuk mendalami ilmu di pondok di daerah Patani. Pada waktu itu, hanya Patani menjadi tempat menimba ilmu-ilmu keislaman sistem pondok secara lebih mendalam. Antara gurunya di Patani ialah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Beliau juga turut mempelajari ilmu sufi daripada Syeikh Muhammad bin Samman di samping mendalami kitab-kitab tasawuf. Untuk bidang tasawuf, beliau berguru pula dengan Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Syamsuddin al-Sumaterani yang masing-masing berasal dari Acheh. Beliau menjadi ulama yang memiliki kepakaran dan keistimewaan dalam cabang ilmu tasawuf kerana ilmu tersebut telah ditimba sejak kecil lagi.
Bapa Syeikh Abdul Samad menghantar beliau ke Tanah Arab, iaitu Mekah dan Madinah, untuk membolehkannya mendalami ilmu agama Islam. Antara teman seperguruan beliau sewaktu menuntut ilmu di sana ialah Muhammad Arsyad al-Banjari, Abdul Wahhab Bugis, Abdul Rahman al-Batawi dan Daud al-Fatani yang kesemuanya menjadi ulama Nusantara yang terkenal. Walaupun tinggal di Mekah, beliau tidak pernah melupakan negeri leluhurnya, Palembang, dan sentiasa memberikan perhatian besar terhadap perkembangan sosial, politik dan keagamaan di Nusantara. 

Peranan dan sumbangan Syeikh Abdul Samad al-Falambani

Hasil tulisan Syeikh al-Falimbani banyak menyeru umat Islam berjihad melawan penjajah Eropah yang ketika itu menjajah kawasan Nusantara. Beliau turut menyebarkan ajaran-ajaran sufisme selain berperanan aktif dalam menyelesaikan dua persoalan pokok di Nusantara iaitu dakwah Islamiyah dan kolonialisme Barat. Menerusi dakwah Islamiyah, beliau memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak tejebak dengan ajaran-ajaran sesat yang menyimpang daripada ajaran tasawuf sehingga mengabaikan syariat. Dalam menangani kolonialisme Barat pula, beliau menghasilkan kitab Nasihah al-Muslimi wa Tazkirah al-Mu’min fi Fadail Jihad fi Sabilillah demi meniupkan semangat jihad kepada umat Islam di seluruh dunia.

Beliau adalah antara tokoh yang paling menonjol dalam bidang tasawuf dengan dua buah karyanya yang terkenal dan masih ada sehingga kini, iaitu Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin. Karya besar Sayr al-Salikin ila Ibadat Rabb al-‘Alamin yang siap dikarang di Taif pada 1778M memuatkan terjemahan Lubab Ihya’ Ulum al-Din karya Imam Al-Ghazali. Beliau juga menyajikan sistem ajaran tasawuf yang memusatkan kepada pencapaian makrifah kesufian melalui pembersihan batin dan penghayatan ibadah menurut syariat Islam. Sebuah lagi karya besar beliau, Hidayah al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin, memperlihatkan transformasi para ulama abad ke-18 yang mengambil langkah kembali mengikuti tasawuf sunni al-Ghazali dan meninggalkan wahdatul wujud Ibn al-‘Arabi yang sangat berpengaruh di Acheh. Antara kitab karangannya yang lain ialah Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid 1178 H/1764 M, Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah 1179 H/1765 M, Al-‘Urwatul Wutsqa wa Silsiltu Waliyil Atqa, Ratib Sheikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani, Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mu’minina fi Fadhailil Jihadi wa Karaamatil Mujtahidina fi Sabilillah, Ar-Risalatu fi Kaifiyatir Ratib Lailatil Jum’ah, Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi’ah fi Jihadi fi Sabilillah, Zatul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil ‘Alamin, ‘Ilmut Tasawuf, Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah ‘Alaihis Shalatu was Salam, Kitab Mi’raj 1201 H/1786 M, Anisul Muttaqin dan Puisi Kemenangan Kedah.

4 ulasan:

  1. Maklumat ini diharap berguna kepada semua pengunjung blog....

    BalasPadam
  2. Terima kasih, Informasi yang sangat bermanfaat. Saya mencari kitab karangan beliau Puisi Kemenangan Kedah.

    BalasPadam
  3. Informasi yang sangat bermanfaat. Saya mencari kitab beliau, Puisi Kemenangan Kedah.

    BalasPadam
  4. Salam

    Kat mana saya boleh dapatkan kitab Zahratul Murid versi rumi?

    BalasPadam