Hikayat Hang Tuah
Hikayat
Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita. kebolehan,
dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui
hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan
bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan
budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta
pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka
pada abad ke-15.
Pada
masa umurnya sepuluh tahun , Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang
sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan
sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di
bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang
begitu muda.
Ketika
Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang
pahlawan Jawa yang termahsyur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya
memperoleh sebilah keris yang dinamakan “Taming Sari” sempena pemiliknya yang
asal. Taming Sari merupakan seorang anak buah Empayar Majapahit yang telah
dihadiahi dengan sebilah keris kuno yang dipercayai boleh menyebabkan
pemiliknya kebal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris
‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri
Betara.
Laksamana
Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan Sultan dan hal ini menimbulkan rasa
iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan
palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan
dayang Sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh Sultan yang
murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak
dilaksanakan oleh Bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.
Mempercayai
bahawa Hang Tuah telah mati, Hang Jebat, melancarkan pemberontakan balas dendam
terhadap Sultan Mansur Shah demi membela kematian sahabatnya di samping
menyebabkan keadaan huru-hara dalam kalangan rakyat Melaka. Seterusnya, Sultan
meninggalkan istana dan mengumumkan Hang Jebat sebagai penderhaka. Semua
percubaan untuk membunuh Hang Jebat tidak berhasil. Sultan Mansur Shah berasa
sesal akan hukuman mati yang telah dijatuhkan kepada Hang Tuah kerana Hang Tuah
merupakan satu-satunya wira yang berupaya untuk membunuh Hang Jebat.
Akhirnya,
Bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada
persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan. Suatu perjuangan yang amat
menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan
selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat
keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan
nafasnya yang terakhir.
Kemudian,
orang – orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil kota
Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua
angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan Melaka pun
menemukan kegagalan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka
mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama.
Maka,
Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita
tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai
masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat
nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di
Dunia.” Hikayat Hang Tuah turut dikemukakan oleh Malaysia sebagai Warisan Dunia
untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia - Memory of the World
Register pada 2001.
Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat
Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu
tradisional dan tertulis dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan
pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja
Pasai, Hikayat Aceh, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan
pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.
Hikayat
ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang
dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang
membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali
sebagai negeri Kedah Zamin Turan.
Bahagian
awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan
mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya,
sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal
daripada pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang
menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja
yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan raja Rom tetapi juga
menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China,
angkatan mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang
telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja
Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China.
Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri
melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja
Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong
Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong
Mahapudisat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka
negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga,
seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal
bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan
gelaran Raja Seri Mahawangsa.
Hikayat Aceh
Di
bahagian awal penceritaan hikayat ini adalah mengenai Raja Indera Syah yang
diterima oleh Maharaja Cina dengan segala kehormatan. Maharaja telah
menyerahkan kepadanya segala peninggalan Raja Iskandar. Istana yang telah
dibina untuk dia tinggal bersama-sama pengikutnya. Raja Indera Syah juga
mempunyai permaisuri yang bernama Nur Kamarain. Selama tinggal di negeri Cina,
Puteri Nur Kamarain hamil dan ketika mencapai sembilan bulan kandungannya, dia
memikirkan faedah yang akan diperolehinya jika anaknya yang berketurunan dari
raja yang besar dapat dilahirkan disana. Raja Syah Muhammad hairan melihat
Puteri Nur Kamarain (bahagian cerita yang hilang). Raja Syah Muhammad menyuruh
orang untuk menebang buluh dan di dalam buluh itu telah keluar seorang
perempuan yang elok parasnya iaitu anak bidadari. Puteri ini bernama Tuan
Puteri Dewi Indera telah dibawa ke istana di atas gajah ringga sambil diiringi
oleh dayang-dayang. Sesampai disana dia disambut dengan penuh kehormatan. Raja
Syah Muhammad telah berkahwin dengannya dan setelah berapa lamanya mereka
mendapat dua orang anak iaitu lelaki dan perempuan. Anal lelakinya bernama
Sultan Ibrahim dan anak perempuan bernama Sapiah.
Puteri
Dewi Indera mempunyai bulu roma putih pada dagu kanannya, yang tidak disukai
oleh Raja Syah Muhamad. Raja Syah Muhamad membantun bulu roma itu ketika puteri
sedang tidur, malangnya telah keluar tiga titik darah putih dari liang roma
dagu puteri itu. Puteri terperanjat lalu meninggal dunia. Raja Syah Muhamad
berasa sangat menyesal diatas perbuatannya itu. Tidak lama kemudian Raja Syah
Muhammad dan Raja Syah Mahmud berangkat dengan rakyatnya ke Seracan untuk
bermain-main. Raja Syah Muhammad tidak mahu meninggalkan tempat tersebut kerana
terdapat sebuah kolam yang luas berair jernih. Di dalam dan sekeliling kolam
itu terdapat berbagai- bagai jenis bunga. Raja Syah Mahmud mengarahkan orang
untuk membina balai perhentian di tempat tersebut. Ketika berda di kolam itu,
Raja Syah Mahmud telah melihat anak bidadari yang mandi di kolam tersebut. Raja
Syah Mahmud telah mencari idea untuk mendapatkan seorang bidadari dan dia telah
mencuri baju terbang bidadari ketika bidadari sedang mandi. Raja Syah Mahmud
memujuk bidadari itu dengan mengatakan bahawa pertemuan mereka itu telah ditentukan
oleh kehendak Tuhan. Puteri Bonsu iaitu bidadari tersebut telah dibawa di atas
gajah ke istana, dan Raja Syah Mahmud telah berkahwin dengannya.
Hasil
perkahwinan tersebut mereka telah mendapat dua orang anak iaitu lelaki dan
perempuan. Anak lelaki bernama Raja Sulaiman Syah manakala anak perempuan ialah
Arkiah. Puteri Bongsu telah terbang ke udara kerana kesal dengan sikap Raja
Syah Mahmud yang telah memungkiri janji dengan menyumpah anaknya itu adalah
anak jin atau anak peri. Raja Munawwar Syah telah mengahwinkan cucu lelakinya
Raja Sulaiman Syah dan Raja Ibrahim dengan cucu perempuannya Puteri Arkiah dan
Puteri Sapiah. Raja … mendapat dua orang anak iaitu Raja Muzaffar Syah dan Raja
Syamsu Syah. Raja Munawwar Syah yang telah memerintah di Lamri dan mendapat
isteri bidadari yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain. Oleh Sebab itu,
Perkasa ‘Alam( Sultan Iskandar Muda) juga keturunan Raja Iskandar Zulkarnaian
dan bidadari berdarah putih, dan keturunan Maha Bisnu.
Di
bahagian seterusnya diceritakan salasilah Perkasa ‘Alam daripada pihak bonda
adalah Sultan ‘Inayat Syah, Sultan Firman Syah, Paduka Marhum Sayyid
al-Mukammil dan Paduka Syah ‘Alam, bonda Perkasa ‘Alam. Raja Muzaffar Syah yang
seibu sebapa dengan Raja Munawwar Syah, mempunyai anak iaitu Raja Syamsu Syah.
Salasilah daripada pihak ayah adalah Raja Muzaffar Syah, Raja Syamsu Syah,
Sayyid al- Marhum, Paduka Marhum dan Marhum Muda. Raja Muzaffar Syah memerintah
di Makota ‘Alam dan Raja Inayat Syah di Dar al-Kamal, dua bahagian di negeri
Aceh. Sempadan bagi kedua-dua negeri tersebut adalah sungai. Kedua- dua raja
tersebut selalu berperang. Raja Muzaffar Syah mempunyai meriam yang ditawannya
daripada Peringgi di Teluk Lmari. Walaupun memiliki meriam itu, dia masih tidak
dapat memenangi perang.
Hikayat Inderaputera
Hikayat
ini mengisahkan perihal seorang putera yang bernama Inderaputera, putera kepada
Maharaja Bikrama Buspa yang memerintah negeri Samantapuri. Kelahirannya yang
telah lama ditunggu-tunggu oleh ayahanda dan bondanya disambut dengan
bunyi-bunyian dan penuh dengan adat istiadat. Ahli nujum datang untuk menilik
nasib putera itu. Ahli nujum itu menyatakan bahawa pada usia Inderaputera tidak
patut dibiarkan bermain bersama binatang kerana takut bencana akan menimpanya.
Inderaputera juga diramal akan menjadi maharaja yang besar dan disegani oleh
kawan mahupun lawan.
Tilikan
ahli nujum itu menjadi kenyataan dan Inderaputera telah diterbangkan oleh Merak
Emas yang dihasilkan oleh pembawa ufti yang datang ke istana Maharaja Bikrama
Buspa. Inderaputera jatuh ke kebun bunga seorang nenek kebayan yang tidak
mempunyai saudara-mara. Setelah melihat keelokan rupa Inderaputera, nenek
kebayan menjadi sayang kepada Inderaputera lalu menjaga Inderaputera bagaikan
menatang minyak yang penuh. Inderaputera juga menjadi rapat dengan nenek
kebayan tersebut. Selama Inderaputa tinggal dengan nenek kebayan ini, kebun
bunga nenek kebayan subur dan lebat. Nenek kebayan mendapat untung yang banyak
daripada hasil jualan bunga .
Suatu
hari nenek kebayan pergi menjual bunga kepada Perdana Menteri negeri tersebut.
Nenek kebayan membawa bersama Inderaputera. Apabila Perdana Menteri itu melihat
keelokan wajah Inderaputera, beliau dapat mengagak bahawa Inderaputera adalah
anak keturunan besar-besar kerana tingkah lakunya dan sinar wajahnya yang
menggambarkan kebesaran dan kemuliaannya. Oleh kerana Perdana Menteri tidak
mempunyai anak, maka Perdana Menteri menganjurkan supaya Inderaputera tinggal
bersamanya pada waktu siang dan pada waktu malam pula kembali bersama nenek kebayan. Raja
Shahian merupakan raja di negeri tersebut yang sangat inginkan anak. Disuruhnya
Perdana Menteri supaya membuat pengumuman untuk bertanya kepada rakyat jika ada
di antara mereka yang tahu tentang ubat untuk kehamilan. Ada diceritakan bahawa
di Gunung Mali Kisna. Ada seorang mahareshi bertapa pada gunung ini yang
bernama Berma Sakti. Namun untuk pergi ke tempat itu, amat sukar dan dipenuhi
dengan cabaran yang amat susah untuk dilalui oleh orang biasa.
Apabila
Inderaputera melihat bapa angkatnya (Perdana Menteri) sugul memikirkan masalah
Raja Shahian, Inderaputera menawarkan diri untuk pergi mencari Berma Sakti ini.
Perdana Menteri berat hati untuk melepaskan Inderaputera pergi namun
Inderaputera tetap berkeras juga. Akhirnya Perdana Menteri terpaksa
mempersembahkan Inderaputera kepada Raja Shahian. Raja Shahian berjanji jika
baginda mendapat anak lelaki, akan dijadikan saudara kepada Inderaputera dan
jika baginda mendapat anak perempuan, akan dijadikan isteri kepada
Inderaputera. Bermula pada hari itu, Inderaputera pun merantau ke
merata-rata tempat untuk mencari ubat beranak ini. Dalam
pengembaraannya,Inderaputera berpeluang melihat dan mengutip pelbagai
pengalaman. Inderaputera berjumpa dengan pelbagai kerajaan dan bersahabat
dengan pemerintah-pemerintah di sana. Keseluruhan cerita Hikayat Inderaputera
mengisahkan perjalanan hidup Inderaputera sepanjang pencariannya untuk
mendapatkan ubat itu.
Setelah
bertahun-tahun lamanya bersusah-payah untuk mengotakan janjinya kepada Raja
Shahian,akhirnya Inderaputera pulang mempersembahkan ubat itu kepada Raja
Shahian. Kedatangan Inderaputera setelah bertahun-tahun lamanya merantau
menggembirakan bapa angkatnya dan Raja Shahian (yang terhutang budi kepada
Inderaputera kerana mencari ubat tersebut), namun mengundang rasa sakit hati
dan cemburu menteri-menteri yang menjadi penasihat Raja Shahian. Mereka telah
mencuba untuk menfitnah Inderaputera dan membunuhnya. Pelbagai cubaan dan
dugaan terpaksa Inderaputera hadapi sebelum dia dapat dijodohkan dengan Puteri
Mengindera Seri Bulan (puteri Raja Shahian hasil daripada ubat yang dicari oleh
Inderaputera) Akhirnya, Inderaputera dikahwinkan dengan Puteri Mengindera Seri
Bulan yang turut jatuh cinta dengan ketampanan dan kebesaran Inderaputera.
Kisah
Hikayat Inderaputera ini diakhiri dengan kepulangan Inderaputera kepada
ayahanda dan bondanya yang tidak pernah ditemuinya semenjak dia diterbangkan
oleh Merak Emas suatu masa dahulu. Inderaputera pulang sebagai seorang putera
yang hebat, mempunyai jajahan sendiri dan mempunyai sahabat-sahabat yang juga
terdiri daripada pemilik kerajaan-kerajaan yang besar dari tanah jin, dewa,
mambang, indera dan peri. Sesungguhnya, segala kesusahan yang ditempuhi oleh
Inderaputera yang terpaksa berpisah dengan ayahanda dan bondanya adalah berbaloi
kerana Inderaputera akhirnya berjaya memartabatkan dirinya melalui usaha dan
penat lelahnya sendiri.
Hikayat Indera Nata
Raja
Rom, Indera Jenaka, dayang-dayang, dan Si Batu Kembar telah terperangkap di
dalam api. Si Batu Kembar lantas menjerit meminta tolong. Dia marah
kepada Piatu kerana menipunya dengan mengatakan api itu tidak panas.
Lama-kelamaan semuanya terkorban. Indera Nata dan puteri ketujuh amat gembira
kerana mereka terbunuh. Ia juga akan memperoleh harta rampasan dan rakyat.
Selama ini dia dianiaya oleh mereka. Tuan Puteri Cenderawati tunduk merindukan
baginda dan menyatakan bahawa Raja Rom itu ialah ayahanda Indera Nata. Tuan
Puteri pun menceritakan segala-galanya. Bermula daripada dia dan
suaminya belayar ke Pulau Pelenggam Cahaya untuk mencari buah-buahan dan
bunga-bungaan. Malangnya Si Batu Kembar telah merampasnya dan dibuang ke dalam
laut. Dia diselamatkan oleh Betara Gangga lalu diberi batu sakti. Kemudian Tuan
Puteri tinggal di negeri Rom.
Indera
Nata berasa menyesal setelah mendengar cerita ibunya. Namun begitu, dia tidak
berupaya menghidupkan orang yang sudah meninggal dunia. Indera Nata meminta
isterinya Tuan Puteri Cendera Kesuma cuba menghidupkan kembali bapanya. Puteri
Cendera Kesuma pun bersiap-siap dan memakai perhiasan untuk menggunakan ilmu
kesaktian yang diperolehnya daripada Betara Gangga. Dengan takdir tuhan, Raja
Rom hidup semula. Baginda amat terkejut melihat seorang perempuan cantik di
hadapannya iaitu Puteri Cendera Kesuma. Tuan Puteri Cendera Kesuma pun
memperkenalkan dirinya sebagai menantu Raja Rom, isteri Indera Jenaka yang
digelar Si Piatu. Segala-gala perbuatan jahat Si Batu Kembar yang mengubahkan
isterinya menjadi orang hutan turut diceritakannya.
Puteri
Cendera Kesuma juga menceritakan perihal ia menyuruh Indera Nata mencari gajah
bergading emas. Dia juga menceritakan perihal tujuh orang puteri termasuk
dirinya yang menjadi isteri Indera Nata. Raja Rom pun menyuruh menantunya itu
memanggil Indera Nata. Tuan Puteri Cendera Kesuma segera memanggil suaminya.
Indera Nata dan semua isterinya berhias cantik sekali. Antara tujug puteri itu
ialah Tuan Puteri Nur Laila, Tuan Puteri Ratna Cahaya, Tuan Puteri
Bayang-Bayang, Tuan Puteri Cendera Dewi, Tuan Puteri Indera Dewi. Bonda mereka
Tuan Puteri Cenderawati tidak mengikut serta.
Indera
Nata menghadap ayahandanya dan memohon ampun sambil menangis. Raja Rom pula
menyatakan bahawa Indera Nata tidak bersalah, tetapi baginda yang bersalah
kerana menganiayai anaknya sendiri tanpa usul periksa. Raja Rom memeluk anaknya
sambil bertanyakan bonda mereka. Menurut Indera Nata, bondanya berada di
rumahnya di hujung negeri dan dia boleh mengubah kembali ibunya seperti asal.
Indera Nata memujuk ayahanda dengan mengatakan bahawa setiap manusia sering
melakukan kesalahan. Seharusnya semua manusia memeriksa terlebih dahulu dengan
teliti sebelum melakukan sesuatu untuk mengelakkan penyesalan kemudian hari.
Raja
Rom bimbang isterinya yang menjadi orang hutan itu tidak memaafkan dirinya.
Baginda meminta Indera Naka membawa isterinya menghadap baginda. Indera Nata
menasihati ayahanda dengan penuh hemah agar ia sendiri yang menemui isterinya.
Lantas baginda, anak dan tujuh isterinya bersama-sama mendapatkan Tuan Puteri
Cenderawati. Apabila baginda tiba, Tuan Puteri Cenderawati memarahi baginda
kerana mempercayai Si Batu Kembar. Baginda meminta maaf dan menyesal atas
kesilapannya dahulu. Setelah dipujuk, akhirnya Tuan Puteri Cenderawati
memaafkan suaminya. Baginda amat gembira kerana isterinya telah memaafkan
dirinya. Indera Nata gembira kerana bonda dan ayahandanya telah kembali
bersatu. Dia mengajak ayahanda dan bondanya kembali ke istana. Indera
Nata menaiki gajah bergading emas bersama-sama ketujuh-tujuh orang puteri.
Baginda bersemayam di atas singgahsana. Baginda membuka gedung emas dan memberi
sedekah kepada fakir miskin sebagai tanda kesyukuran.
Raja
Mesir, Raja Iraq, Raja Siam, Raja Keling dan Raja Feringgi sudah mengetahui
bahawa Tuan Puteri Cendera Kesuma yang berada di Rom telah diselamatkan oleh
Indera Nata daripada tangan Si Kembar Batu. Raja yang ketujuh gembira mendengar
berita tersebut dan ingin mendapatkan anakandanya semula. Menteri dan
hulubalang berpendapat bahawa baginda perlu meminta semula anakandanya, jika
tidak diberi mereka akan menyerang. Laksamana pula berpendapat mereka sama
keturunan raja dan akan memalukan. Mangkubumi juga bersetuju dengan pendapat
laksamana. Semuanya bersiap sedia menuju ke Rom.
Hikayat Malim Deman
Tuanku
Gombang Malim Dewa dan permaisuri Tuan Puteri Lindungan Bulan memerintah negeri
Bandar Muar. Mereka mempunyai seorang putera, Tuanku Malim Deman. Pada suatu
malam, Tuanku Malim Deman bermimpi didatangi seorang wali Allah menyuruh
baginda pergi ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan untuk beristerikan
Puteri Bongsu daripada tujuh beradik dari kayangan yang akan turun ke dalam
taman nenek memetik bunga mengarang kuntum pada setiap malam purnama.
Sedar
dari beradu, Tuanku Malim Deman berubah menjadi seorang yang gila bayang. Seisi
istananya kehairanan terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Baginda memohon
pekenan ayah dan bondanya untuk pergi berburu ke hulu negeri. Pada mulanya
Tuanku Malim Deman diiringi sekalian ramai hulubalang dan rakyat jelata. Namun
mereka tewas; akibat kebuluran, penyakit, sesat dan berpatah balik. Akhirnya
tinggallah Tuanku Malim Deman, Awang Selamat dan anjingnya Si Kumbang. Awang
Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia dalam perjalanan, Si Kumbang pula mati
lemas. Tinggallah Tuanku Malim Deman sendirian menempuhi berbagai-bagai
kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas hanyut berisi
sebentuk cincin dan sehelai rambut. Semua ini milik Puteri Bongsu dari kayangan
yang berkata barang sesiapa yang menemui batil tersebut ialah jodohnya.
Sebenarnya puteri ini telah ditunangkan dengan Medan Si Tangkal Ali tetapi
tidak disukainya.
Tuanku
Malim Deman menemui Nenek Kebayan dan dengan helah mereka baju layang Puteri
Bongsu diambil oleh Tuanku Malim Deman. Akhirnya Tuanku Malim Deman membuka
rahsia batil emas dan apa tujuan sebenar kedatangannya. Mereka dikahwinkan oleh
Betara Guru di rumah Nenek Kebayan. Kepulangan Tuanku Malim Deman membawa
isteri disambut penuh meriah dan kebesaran oleh kedua orang tuanya, lalu
diadakan kenduri kahwin besar-besaran. Rakyat negeri Bandar Muar mengadakan
pesta selama tiga bulan sebagai tanda kesyukuran dan Tuanku Gombang Malim Dewa
sendiri berkenduri membayar nazarnya.
Tuanku
Gombang Malim Dewa dan permaisuri mangkat selang seminggu, taktha kerajaan
diserahkan kepada Tuanku Malim Deman. Malangnya, Tuanku Malim Deman tidak cekap
memerintah negeri. Baginda asyik dengan persabungan dan berfoya-foya dengan
wanita sehingga melupakan urusan negeri dan permaisurinya. Sehinggalah Puteri
Bongsu berputerakan Tuanku Malim Dewana pun, baginda tidak sudi pulang
menjenguk bayinya itu. Setelah Tuanku Malim Dewana boleh berjalan, jatuh
bangun, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya dahulu. Lantas diambil, sambil
mendukung putera kecilnya, ia terbang melayang pulang ke kayangan. Disambut
oleh kedua-dua orang tuanya dengan rasa curiga. Setelah diketahui kedudukan
sebenar, Puteri Bongsu ditunangkan dengan Mambang Molek seorang raja kayangan
juga.
Setelah
kehilangan isteri dan anak barulah Tuanku Malim Deman insaf dan menyesal akan
perbuatannya selama ini. Baginda mengembara semula sehingga sampai semula ke
rumah Nenek Kebayan. Baginda meminta bantuan nenek itu untuk berjumpa dengan
keluarganya kembali. Nenek memberitahu baginda bahawa hanya burung borak sahaja
yang mampu membawa baginda ke kayangan. Akan tetapi Nenek Kebayan tidak ketahui
di mana burung tersebut berada untuk meminjamkan kepada baginda.
Tuanku
Malim Deman meneruskan perjalanan dan pada suatu malam, sewaktu terlena di
banir pokok, baginda bermimpikan kemunculan seorang wali Allah menyuruh baginda
mengikut hulu sungai sehinggalah bertemu dengan Puteri Terus Mata anak Raja Jin
Islam. Baginda sempat bertaubat di hadapan wali tersebut. Terjaga atau beradu,
baginda menuruti pesanan wali Allah dalam mimpinya. Tuanku Malim Deman meminjam
burung borak milik Puteri Terus Mata, untuk berlepas ke kayangan setelah
menerima syarat daripada ayahanda Puteri Terus Mata, iaitu Raja Jin Islam
supaya mengahwini puteri apabila pulang ke dunia semula. Baginda juga sempat
berguru kepada Raja Jin Islam tentang segala ilmu dan hikmat bekalan cabaran di
kayangan kelak. Puteri Terus Mata turut memberi tujuh kapur sirih hikmat kepada
baginda untuk disantap juga mengatasi tujuh lautan halangan, lautan gelap, api,
sejuk, kuning, hijau, masin dan bisa. Kemenyan mandung jati turut dibekalkan
untuk menyeru kehadiran burung borak apabila baginda hendak pulang ke dunia
semula.
Baginda
tiba di rumah Nenek Kebayan di kayangan dan dilayan dengan penuh mesra. Baginda
perkenalkan diri sebagai Malim Permainan kerana berkebolehan luar biasa bermain
muzik. Malim Permainan hadir ke balai perkarangan istana lalu bermain muzik
untuk menghiburkan puteranya Malim Dewana. Walaupun putera itu tidak
mengenalinya, namun naluri hubungan anakbapa menyebabkan putera sering berada
di atas ribaan sambil berhibur dengan permainan muzik oleh baginda. Dari bau
minyak silompat pagar yang melekat pada tubuh puteranya, tahulah Puteri Bongsu
bahawa Malim Permainan itu suaminya kerana minyak itu ditinggalkan sewaktu ke
kayangan. Malim Permainan (Tengku Malim Deman) menyuruh Nenek Kebayan jualkan
cincinnya kepada Puteri Bongsu kerana kesuntukan belanja. Puteri Bongsu membuka
rahsia kepada Nenek Kebayan dan meminta Malim Permainan(Tengku Malim Deman)
merebutnya semula daripada tangan Mambang Molek.
Tengku
Malim Deman akhirnya dapat membunuh Mambang Molek di gelanggang sabung ayam.
Dua orang saudaranya yang cuba menuntut bela juga terbunuh dan negeri menjadi
huru-hara kerana rakyat Mambang Molek bertempur sesama sendiri kerana hikmat
wali Allah. Tengku Malim Deman dikahwinkan sekali lagi dengan Puteri Bongsu di
atas kayangan.
Setahun
kemudian Tengku Malim Deman membawa Puteri Bongsu dan puteranya pulang ke
Bandar Muar. Berkahwin dengan Puteri Terus Mata, puteri Raja Jin Islam sebagai
menunaikan janji dan Tengku Malim Deman menjadi raja yang arif bijaksana serta
pula gagah berani yang terlalu saktinya tiadalah berbanding zaman itu.
Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu
Buku
ini mempunyai 15 bab. Dalam bab permulaan iaitu Bab 1 dan 2, ianya
mengenai sejarah asal-usul raja-raja Melayu yang dikatakan berasal
daripada Iskandar Zulkarnain. Bercampur dengan Puteri Syahrul
Bariyah dari Benua Hindi dan Puteri Mahtabul Bahri yang berasal dari negeri
Dika, sebuah negeri di dalam laut.
Nila
Utama atau Seri Teri Buana telah kahwin dengan Raden Ratna Cendera Puri dari
keturunan Raja Palembang telah mengasaskan kerajaan Singapura. Sejarah
Singapura di zaman Seri Teri Buana, Paduka Seri Pikrama Wira, Seri
Rakna Wikrama, Paduka Seri Maharaja dan berakhir di zaman Raja Iskandar Syah
dibincangkan dalam 3 dan 4.,
Sejarah
kerajaan Melaka dibincangan secara panjang lebar mulai bab ke 4 hinggalah bab
ke 14. Ianya bermula di zaman Raja Iskandar Syah hinggalah ke zaman Sultan
Mahmud, raja Melaka yang terakhir. Raja-raja Melaka termasuklah Raja
Tengah dan Raja Kecil Besar yang telah memeluk Islam dan menggunakan gelaran
Sultan Muhammad Syah. Sultan yang berikutnya ialah Sultan Abu Syahid, Muzaffar
Syah, Mansur Syah, Alauddin Riayat Syah dan yang terakhir Sultan Mahmud Syah.
Sultan
Mahmud pernah melantik Sultan Ahmad sebagai penggantinya tetapi ianya disuruh
bunuh kerana sikap Sultan Ahmad yang tidak menghormati pembesar-pembesar
tua. Sultan Mahmud bercadang untuk melantik Raja Muzaffar sebagai
Sultan tetapi digantikan oleh Raja Ali anak Tun fatimah. Raja Ali bergelar
Sultan Alauddin Riayat Syah. Sultan Mahmud mangkat di Kampar.
Dalam
bab 15 , Sejarah Melayu membincangkan tentang kerajaan Melayu di Johor terutama
di zaman Sultan Alauddin, Sultan Muzaffar, Sultan Abdul Jalil, Sultan Jalla
Abdul Jalil hinggalah ke zaman Sultan Alauddin Riayat
Syah. Terutamanya tentang usaha mereka menguasai semula Melaka. Pada
zaman Sultan Aladdin inilah Tun Seri Lanang dilantik menjadi Bendahara dan
dititahkan menyusun buku Sulalatus Salatin ini.